ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Seramai 285 orang yang tiba dari luar Sarawak telah ditempatkan dan dikuarantin di lima buah hotel di Kuching, Miri dan Limbang setakat semalam.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, hotel yang terlibat adalah dua di Kuching iaitu di Hock Lee dan Rajah Court Dormani, di Miri adalah Hotel Mega dan Hotel Somerset manakala di Limbang di Hotel Purnama.
“Mereka yang ditempatkan di hotel-hotel tersebut adalah dikategorikan sebagai Orang di Bawah Pengawasan (PUS).
“Hotel Hock Lee menempatkan 86 orang, Hotel Rajah Court Dormani (91), Hotel Mega (68), Hotel Somerset (34) dan Hotel Purnama (6).
“Ini adalah ekoran arahan semua rakyat Sarawak yang pulang dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan ditempatkan di Pusat Kuarantin yang mana mereka tiba bermula 5 April lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media harian Covid-19 mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.
Mengulas mengenai pra syarat mereka yang dikuarantin di hotel, Abdul Karim berkata semua diberikan bilik perseorang dan bilik air seorang, serta diberikan makan minum tiga kali sehari dengan semua ditanggung Kerajaan Negeri.
Abdul Karim turut menggesa mereka yang mempunyai kontek serta pernah menghadiri acara mereka yang positif Covid-19 untuk hadir melakukan saringan walaupun tidak terdapat simptom kerana sesetengah kes tidak ada simptom tetapi positif Covid-19.
“Pada masa ini ada dua makmal saringan yang ada di negeri iaitu di Hospital Umum Sarawak dan UNIMAS adalah memadai.
“Ini kerana sebelum ini dihantar ia telah dihantar ke Kuala Lumpur dan perlu menunggu dua tiga hari, namun dengan fasiliti makmal yang kita ada ini, ia hanya memakan jangka masa dalam 24 jam untuk mendapat keputusan,” tambahnya.