TANJUNG MANIS: Seramai 259 penerima di Daerah Tanjung Manis menerima pelbagai skim bantuan kewangan bulanan sehingga Julai 2026, mencerminkan usaha berterusan kerajaan Sarawak memastikan golongan berkeperluan tidak tersisih daripada sistem sokongan sosial.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, bantuan tersebut disalurkan menerusi beberapa skim yang dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kumpulan sasar.
“Sehingga Julai 2026, seramai 259 penerima telah menerima bantuan melalui pelbagai skim bantuan bulanan kewangan yang dilaksanakan di Daerah Tanjung Manis seperti Bantuan Kanak Kanak (BKK), 23 penerima; Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB), 39 penerima; Bantuan Pesakit Terlantar (BPT), 11 penerima; Bantuan Warga Emas (BWE), 136 penerima; Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU), 11 penerima dan Bantuan Am (BA), 39 penerima.
“Program Jangkauan: Santuni Komuniti (POSKOM) merupakan program utama yang diperkenalkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dan dilaksanakan di semua bahagian bagi mendekati golongan sasar, komuniti serta pemimpin masyarakat.

“Ia merupakan program sehari yang diadakan bertujuan untuk menyantuni golongan sasar yang berkeperluan, komuniti yang prihatin dan pemimpin masyarakat yang mengambil berat tentang isu masyarakat dan yang memerlukan bantuan kerajaan,” katanya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata demikian ketika mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah di POSKOM Peringkat Bahagian Mukah, Dewan Masyarakat Belawai semalam.
Beliau berharap POSKOM menjadi platform yang membolehkan masyarakat memperoleh maklumat tepat, cepat dan terkini mengenai perkhidmatan serta bantuan yang disediakan JKMS.
“Saya mengharapkan agar program ini dapat dijadikan sebagai platform kepada komuniti untuk mendapatkan informasi yang tepat, cepat dan terbaharu daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Gunakan peluang ini sebaik mungkin dan sila uar-uarkan maklumat kepada rakan rakan yang mungkin tidak berkesempatan untuk hadir pada hari ini agar semua yang memerlukan perkhidmatan segera dapat disantuni sebaik mungkin,” katanya.
Katanya, pelaksanaan program itu turut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memastikan pembangunan Sarawak merangkumi aspek keterangkuman sosial.
Memetik Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, beliau berkata: “Menjelang 2030, Sarawak akan melahirkan masyarakat maju berteraskan data dan inovasi di mana semua rakyat akan menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar.”
Menurutnya, usaha mendekati masyarakat di peringkat akar umbi merupakan sebahagian daripada langkah merealisasikan hala tuju tersebut.
“Dengan harapan, tiada lagi golongan terpinggir yang tersisih daripada menikmati kemudahan, bantuan dan sistem sokongan sosial yang disediakan oleh kerajaan melalui JKM,” katanya.
Tambahnya, POSKOM turut memberi ruang kepada komuniti mengemukakan pertanyaan, cadangan dan aduan secara langsung kepada JKMS, selain membolehkan maklum balas masyarakat digunakan dalam perancangan serta penilaian perkhidmatan.
Program berkonsepkan hari bersama pelanggan tersebut menyediakan kaunter pertanyaan dan khidmat nasihat bantuan kebajikan, permohonan Kad Orang Kurang Upaya (OKU), Kad Kenyalang Gold (KGC) serta Program Faedah Kesihatan Warga Emas Sarawak (SCHB).
Turut diadakan ialah taklimat perkhidmatan, sesi interaktif bersama pelanggan dan kaunter aduan, selain pameran melibatkan pelbagai jabatan serta agensi kerajaan.
Antaranya Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tanjung Manis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Klinik Kesihatan Tanjung Manis, Pejabat Kesihatan Awam Tanjung Manis, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA), Jabatan Pertanian dan Jabatan Kastam.
Program tersebut turut menyediakan Jualan Rahmah sebagai antara inisiatif membantu meringankan perbelanjaan harian masyarakat setempat.
Jelasnya, pendekatan bersemuka penting dalam memastikan masyarakat memperoleh penjelasan secara terus, sekali gus meminimumkan kekeliruan berkaitan perkhidmatan kerajaan.
“Penyampaian perkhidmatan secara bersemuka akan lebih efisien dan memudahkan pelanggan atau golongan yang memerlukan perkhidmatan mendapatkan maklumat secara langsung.
“Komunikasi dua hala dapat mengurangkan masalah komunikasi dan percanggahan maklumat yang seterusnya mengurangkan persepsi negatif pelanggan terhadap jabatan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





