KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) malam ini melancarkan manifesto sebagai aku janji kepada rakyat untuk dipenuhi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Manifesto bertemakan ‘Menjamin Sarawak Stabil, Maju dan Makmur’ dilancarkan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Manifesto 62 muka surat itu adalah aku janji dan komitmen GPS demi masa depan Sarawak gemilang.
Ia mengandungi satu hala tuju, lima tonggak utama, 25 teras ke arah matlamat Sarawak maju 2030.
Manifesto itu turut menggariskan 10 sebab utama kenapa GPS mesti dipilih iaitu:
- Kepemimpinan Premier Sarawak yang berpandangan jauh, berintegriti dan cemerlang;
- Berjaya dan komited kembalikan hak Sarawak dibawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC);
- Politik stabil dan hala tuju jelas ke arah 2030;
- Memperkenalkan dan melaksana 120 inisiatif dan dasar utamakan rakyat:
- Dasar sosial, agama dan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif;
- Utamakan semua peringkat dan golongan masyarakat
- Berjaya mempertingkatkan hasil dan pendapatan Sarawak
- Calon berwibawa dan prihatin rakyat;
- Tadbir urus kerajaan yang cekap, berintegriti dan profesional;
- Rekod prestasi cemerlang
Manifesto itu turut menggariskan lima tonggak utama seperti berikut:
- Politik, sosial, ekonomi dan kewangan stabil dan mampan diterajui kepemimpinan yang mengutamakan masa depan Sarawak;
- Pembangunan infrastruktur dan kemudahan bandar dan luar bandar dititikberatkan demi kesejahteraan rakyat;
- Transformasi ekonomi dan pelbagai sumber kewangan mampu memperingkatkan pendapatan bagi memacu pembangunan Sarawak;
- Latihan modal insan dan keadilan sosial serta agama diutamakan;
- Tadbir urus yang cekap dan berintegriti pemangkin kemajuan Sarawak.
Manifesto itu turut menggariskan 25 teras, antaranya mandat penuh rakyat Sarawak mendapatkan semula hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), suara Sarawak akan lebih kuat di Parlimen.
Ia menyatakan bahawa Sarawak akan menuntut lebih banyak wakil negeri ini di Parlimen, selaras dengan kedudukannya sebagai rakan kongsi setara penubuhan Malaysia agar hak dan keistemewaan negeri ini terus dapat diperjuangkan.
Menurut intipati manifesto itu lagi, dengan rekod kejayaan cemerlang GPS pada PRU-15, GPS berjanji dan komited untuk melaksanakan 25 teras manifesto untuk Sarawak ‘stabil, maju dan makmur’ demi menjadikan Sarawak gemilang menjelang 2030.
Oleh KADIR DIKOH