SKS platform kerajaan dengar denyut nadi rakyat

Facebook
WhatsApp
MENTERI Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini, hari ini.

SIBU: Program Sarawakku Sayang (SKS) bukan sekadar medan penyampaian dasar kerajaan, sebaliknya menjadi platform penting untuk mendengar sendiri suara rakyat bagi memastikan setiap dasar dan inisiatif benar-benar memenuhi keperluan masyarakat.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing berkata, pendekatan turun padang menerusi SKS membolehkan kerajaan memperkukuh hubungan dua hala dengan rakyat, sekali gus memastikan setiap projek pembangunan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurut beliau, pembangunan yang berkesan tidak boleh bergantung kepada pemimpin semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira pandangan, cadangan dan maklum balas rakyat.

“Hubungan dua hala amat penting kerana pembangunan yang berkesan bukan hanya bergantung kepada pemimpin, tetapi perlu mengambil kira keperluan sebenar rakyat di peringkat akar umbi.

“Pendekatan turun padang ini perlu terus diperkukuh agar setiap dasar dan projek pembangunan memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sibu 2026 di Dataran Tun Tuanku Bujang, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata, sepanjang tiga hari penganjuran SKS, pelbagai pengisian disediakan termasuk pameran dan perkhidmatan agensi kerajaan, program kesihatan, pendidikan, keusahawanan serta aktiviti komuniti yang memberi manfaat secara langsung kepada pengunjung.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan Sarawak pada masa depan memerlukan rakyat yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi serta ekonomi, justeru golongan muda perlu merebut peluang pendidikan dan latihan yang disediakan.

Dalam pada itu, Tiong mengingatkan rakyat agar terus memelihara perpaduan, keamanan dan sikap saling menghormati yang menjadi kekuatan Sarawak kerana ia merupakan asas kepada kemajuan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan boleh merancang pelbagai dasar dan inisiatif, namun kejayaannya bergantung kepada sokongan serta kerjasama rakyat.

“Marilah kita terus berganding bahu memastikan Sarawak kekal maju, makmur dan berdaya tahan menghadapi cabaran masa depan,” katanya.

Oleh Tarani Lanting

Kepulangan terakhir Koperal Chiu, keluarga iringi penghormatan terakhir

SIBU: Di sebalik kepulangan jenazah Koperal Chiu Teck Siong ke kampung halamannya hari ini, balu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu hanya mampu memikirkan masa depan lima anak mereka yang masih kecil, terutama soal pendidikan selepas kehilangan tonggak keluarga dalam tragedi renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, semalam. Tan Wei Wei, 39, berkata, keutamaan beliau ketika ini ialah memastikan kelima-lima anak mereka mendapat pembiayaan pendidikan yang mencukupi memandangkan mereka masih kecil. “Yang saya fikir sekarang ialah pendidikan masa depan mereka. Mereka semua masih kecil, sedangkan gaji suami bukanlah besar,” ujarnya ketika ditemui di Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima di sini, lewat petang tadi. Beliau berkata, lima anak mereka masing-masing berusia 11, 10, sembilan, tujuh dan empat tahun. Menurutnya, empat anak yang lebih besar bersekolah di SJK(C) Tung Hua, Sibu, manakala anak bongsu mengikuti pendidikan prasekolah di Tadika Sing Antong. Tan berkata, mendiang suaminya telah lama berhasrat untuk dipindahkan semula bertugas ke Sibu supaya dapat tinggal bersama keluarga, namun hasrat itu tidak kesampaian. “Memang sudah lama dia hendak berpindah balik ke sini, tetapi belum berjaya,” katanya. Beliau berkata, kali terakhir anak-anak dapat meluangkan masa bersama bapa mereka ialah ketika sambutan Tahun Baharu Cina lalu. Koperal Chiu, 40, merupakan antara tiga anggota polis yang maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan galah logam untuk mengambil kelapa di luar Balai Polis Weston, Beaufort, Sabah, semalam. Jenazah beliau diterbangkan dari Lapangan Terbang Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kota Kinabalu dan tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 5.50 petang. Van yang membawa jasad mendiang kemudian diiringi kenderaan polis serta ahli keluarga ke Ching Chuan Sibu Mortuary Hall di Jalan Bukit Lima. Upacara penghormatan terakhir akan diadakan di dewan berkenaan pada 7.30 pagi esok sebelum mendiang dibawa ke Nirvana Memorial Park untuk upacara pembakaran. Abu mendiang kemudian akan disemadikan di Methodist Grace Memorial Park di Jalan Kemuyang. Dua lagi mangsa yang turut terkorban dalam kejadian itu ialah Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 26. Ketiga-tiga mereka bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort. Oleh Akun Giman