22 saman trafik dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu IPD Lubok Antu

Facebook
WhatsApp
SEBANYAK 22 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo Sarikei-Sri Aman berhampiran Engkilili, petang semalam. Foto IPD Lubok Antu

LUBOK ANTU: Sebanyak 22 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan pihak polis dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan di Lebuh Raya Pan Borneo Sarikei-Sri Aman berhampiran Engkilili, petang semalam.

Operasi berkenaan dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu sebagai langkah berterusan untuk memperkukuh kawalan keselamatan serta memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

Operasi diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit, dengan penglibatan 24 anggota polis daripada pelbagai pangkat dan cawangan.

SEBANYAK 22 saman dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo Sarikei-Sri Aman berhampiran Engkilili, petang semalam. Foto IPD Lubok Antu

Menurut IPD Lubok Antu, operasi itu menyasarkan usaha menurunkan kadar jenayah indeks selain mencegah dan membanteras kegiatan jenayah serta kesalahan berkaitan dadah.

Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang lalu lintas turut diberi perhatian bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan aspek keselamatan ketika memandu.

Sepanjang operasi, pihak polis memeriksa 110 kenderaan pelbagai jenis serta 125 individu menerusi sekatan jalan raya yang diadakan pihak polis.

Pengeluaran 22 saman tersebut menunjukkan tindakan tegas polis dalam memastikan pematuhan terhadap peraturan lalu lintas, selain menjadi peringatan kepada pengguna jalan raya supaya tidak mengambil mudah aspek keselamatan.

IPD Lubok Antu menegaskan komitmennya untuk terus menguatkuasakan undang-undang serta melaksanakan operasi seumpama itu dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam Masyarakat di daerah berkenaan terus terjamin.

Oleh Adi Safarman