
KUCHING: Kegigihan, disiplin dan semangat juang tinggi akhirnya membuahkan hasil apabila seramai 22 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching menerima Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian cemerlang mereka dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, kejayaan yang diraih bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik pelajar, malah membuktikan komitmen berterusan warga MRSM Kuching dalam melahirkan generasi berilmu dan berdaya saing.
Menurut beliau, pencapaian tersebut menjadi lebih membanggakan apabila MRSM Kuching berjaya mencatatkan Gred Purata Maktab (GPM) 2.635 dalam peperiksaan SPM 2025, sekali gus memperkukuh reputasinya sebagai antara institusi pendidikan yang konsisten melahirkan pelajar cemerlang.
“Syabas dan tahniah kepada seluruh warga MRSM Kuching, para guru, ibu bapa serta anak-anak pelajar yang diraikan pada hari ini.

“Seramai 22 pelajar menerima anugerah kecemerlangan. Tahniah kepada semua penerima serta keluarga yang sentiasa menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang SPM Tahun 2025 dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) kepada pelajar cemerlang MRSM Kuching di Dewan Kenyalang, MRSM Kuching, hari ini.
Rubiah berkata, kejayaan yang dicapai merupakan hasil kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan pelajar yang sentiasa komited memastikan kecemerlangan pendidikan dapat dikekalkan dari semasa ke semasa.
Katanya, pencapaian tersebut membuktikan bahawa usaha yang berterusan, disiplin yang tinggi serta kesungguhan dalam menuntut ilmu mampu membuka ruang dan peluang lebih luas kepada generasi muda untuk mencipta masa depan yang gemilang.
Beliau turut mengingatkan para pelajar bahawa keputusan cemerlang yang diperoleh bukanlah penamat perjalanan, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada cabaran yang lebih besar dalam dunia pendidikan dan kerjaya.
“Keputusan cemerlang yang saudara dan saudari peroleh dalam peperiksaan SPM bukanlah destinasi terakhir, tetapi tiket untuk melangkah ke pentas yang lebih besar dan lebih mencabar.
“Teruskan menimba ilmu, membina karakter serta memperbaiki diri dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada para guru dan ibu bapa yang disifatkan sebagai tulang belakang kepada kejayaan para pelajar.
Menurutnya, di sebalik setiap pencapaian gemilang seorang anak, terselit pengorbanan ibu bapa yang tidak pernah jemu memberi dorongan serta dedikasi para guru yang sentiasa komited mendidik dan membimbing mereka menuju kecemerlangan.
Turut hadir Pengetua MRSM Kuching, Abdul Rahim Ishak, wakil pengurusan MARA Sarawak, guru-guru, ibu bapa serta pelajar MRSM Kuching.
Oleh Norman B