
KUCHING: Sambutan Hari Sarawak pada setiap 22 Julai bukan sekadar cuti umum, sebaliknya menjadi lambang perpaduan rakyat serta medan memperkukuh tekad dalam meneruskan agenda pembinaan dan pembangunan negeri.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, tarikh bersejarah itu yang diwartakan sebagai Hari Kemerdekaan Sarawak pada 2016 membawa makna besar kepada seluruh rakyat negeri ini sebagai simbol jati diri dan kebersamaan.

Menurut beliau, sambutan Hari Sarawak wajar diraikan oleh semua rakyat tanpa mengira lokasi, termasuk anak Sarawak yang berada di luar negeri, sebagai tanda penghargaan terhadap sejarah serta kecintaan kepada tanah air.
“Setiap tahun, kerajaan Sarawak menganjurkan sambutan rasmi secara bergilir di pelbagai bandar dan daerah bagi memastikan penglibatan rakyat di seluruh negeri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Sarawak 2026, hari ini.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat agar bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut dan tidak hanya menjadi pemerhati, sebaliknya mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai program yang dianjurkan.
Katanya, Hari Sarawak juga menjadi peringatan kepada rakyat mengenai matlamat yang perlu dicapai serta usaha berterusan dalam merealisasikan aspirasi pembangunan negeri.
“22 Julai adalah hari yang sangat penting untuk kita menilai pencapaian dan merancang masa depan Sarawak ke arah pembinaan negeri yang lebih maju, makmur dan inklusif,” katanya
Beliau mengakhiri perutusan dengan mengucapkan Selamat Hari Sarawak kepada seluruh rakyat negeri ini sambil menggesa agar semangat perpaduan terus diperkukuh demi kemajuan dan kesejahteraan Sarawak.





