BINTANGOR, 11 Oktober: Keupayaan anggota bomba untuk bertahan dan mengendalikan diri ketika berdepan kecemasan di air terus diperkukuh menerusi latihan ikhtiar hidup di air (BWS) yang melibatkan 21 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, baru-baru ini.
Ketua BBP Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, latihan ikhtiar hidup di air yang diadakan di Kolam Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang itu bertujuan meningkatkan kemahiran, keyakinan dan tahap kesiapsiagaan anggota dalam menghadapi tugasan yang melibatkan persekitaran air.
Katanya, latihan yang bermula dari 9.00 pagi hingga 11.30 pagi itu turut memberi penekanan kepada penguasaan teknik asas keselamatan dan ketahanan diri ketika berada di dalam air.
“Antara pengisian utama latihan berkenaan ialah taklimat keselamatan, aktiviti pemanasan badan, latihan asas keselamatan di dalam air serta teknik apungan dan kawalan pernafasan.
“Latihan ini bertujuan meningkatkan kemahiran, keyakinan serta tahap kesiapsiagaan anggota bomba dalam menghadapi tugasan dan situasi kecemasan melibatkan air,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Latihan tersebut diketuai oleh beliau sendiri serta dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Zulfaiza dan Pegawai Bomba (PB) Hensley.
Katanya, anggota bomba turut menjalani latihan berenang dan pergerakan di dalam air bagi membiasakan diri dengan teknik yang diperlukan ketika menghadapi situasi kecemasan.
“Selain itu, latihan ketahanan dan keyakinan diri turut dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan anggota bomba mengawal pergerakan serta mengekalkan ketenangan ketika berada di dalam air.
“Penguasaan teknik apungan dan kawalan pernafasan merupakan antara kemahiran asas yang penting bagi membantu anggota menguruskan tenaga serta mengurangkan risiko ketika berdepan keadaan mencabar.
“Latihan secara praktikal ini juga memberi peluang kepada anggota bomba memperkukuh kemahiran individu sebagai persediaan menghadapi tugasan operasi yang memerlukan kecekapan dan ketahanan fizikal,” katanya.
Oleh Earl Anek





