KUCHING: Semua institusi pendidikan di daerah ini ditutup mulai hari ini (30 Oktober) hingga 13 November depan selepas disahkan Zon Merah pandemik Covid-19.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi satu kenyataan berkata, penutupan ini melibatkan sebanyak 209 institusi pendidikan di seluruh daerah ini.
Bilangan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.
“Sekolah dan institusi pendidikan yang mempunyai asrama juga ditutup.
“Ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama tersebut untuk pulang.
“Bagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa atau murid yang ingin terus kekal berada di asrama sekolah atau institusi pendidikan sepanjang tempoh penutupan akan berada di bawah penjagaan warden,” katanya.
Tambah KPM, bagi murid-murid yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan, mereka perlu mendapatkan surat dari sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.
Sepanjang tempoh penutupan tersebut, pentadbir sekolah serta semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.
Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my.
“KPM sentiasa memantau situasi di seluruh negara serta sentiaa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sebarang pemakluman berhubung penutupan sekolah dan institusi pendidikan akan dibuat dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, senarai institusi pendidikan yang ditutup akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan dimuat naik di portal KPM di www.moe.gov.my dan di platform media sosial rasmi KPM.
Oleh Nur Ain Otsman