
SIBU: Seramai 20 ahli wanita Sibu Life Care Society menerima sijil penghargaan kerana mengambil bahagian secara aktif dalam menderma darah.
Mendahului senarai penerima, Lee Mee Lay yang menderma darah sebanyak 69 kali, Wong Chiew Siang (68) dan Lee Mee King (50).
Timbalan Menteri Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Ting Ming Tee menyampaikan kepada semua penerima pada majlis Makan Malam Sibu Life Care Society sempena sambutan Hari Wanita di sebuah restoran di sini, malam tadi.
Dalam ucapannya, Tiang berkata, bank darah Hospital Sibu adalah sangat kritikal kerana membekalkan darah kepada seluruh kawasan wilayah tengah Sarawak.
“Saya tahu bank darah kita membekalkan darah ke seluruh Sarawak, malah ada kalanya sehingga ke Sabah. jadi, saya amat mengagumi aksi usaha persatuan itu. Terima kasih atas sumbangan anda, tindakan anda, dan kemurahan hati anda,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan itu memuji persatuan (Sibu Life Care Society) kerana menghargai ahli wanita.
Katanya, menjadi seorang wanita pada abad ke-21 bukanlah mudah kerana mereka perlu mengimbangi tugas dan tanggungjawab keluarga.
“Mereka perlu menjaga kerja mereka untuk menggembirakan bos mereka. Balik rumah kena memasak, uruskan keluarga, suami, anak dan diri sendiri.
“Dan kemudian menggunakan masa lapang mereka untuk menyertai persatuan. Malah mereka mengambil langkah tambahan untuk menderma darah,” katanya.
Beliau berkata, wanita berkebolehan seperti lelaki, malah pencapaian mereka boleh dilihat dalam beberapa cerita kuno dari China, seperti Mulan.
“Wanita mempunyai kuasa yang sama, hak yang sama, dan keupayaan yang sama. Jadi, saya ingin menggalakkan wanita kita malam ini, anda mungkin kelihatan kecil, tetapi penglihatan anda mesti besar. Anda mungkin sangat lembut, tetapi semangat anda boleh menjadi kuat,” tegasnya.
Oleh Akun Giman