LUBOK ANTU: Sebanyak 20 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan dalam sekatan jalan raya menerusi Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Lubok Antu, DSP Pricha Azin, berkata operasi berkenaan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Inspektor Harper Kenol, dengan membabitkan 19 anggota polis daripada pelbagai pangkat dan cawangan.
Menurutnya, operasi itu dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jenayah indeks, mencegah serta membanteras kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, selain memastikan pematuhan terhadap undang-undang lalu lintas.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 120 kenderaan pelbagai jenis dan 140 individu telah diperiksa oleh pihak polis.
“Hasil pemeriksaan, sebanyak 20 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas telah dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi bersepadu seumpama itu akan dilaksanakan dari semasa ke semasa di kawasan berisiko dan lokasi strategik dalam Daerah Lubok Antu.
Katanya, tindakan berterusan itu penting bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa berada pada tahap yang baik.
“IPD Lubok Antu akan terus melancarkan operasi dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat di daerah ini terus terjamin,” katanya.
Operasi berkenaan turut menjadi langkah pencegahan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi peraturan serta mengurangkan risiko berlakunya kemalangan dan kegiatan jenayah di kawasan berkenaan.
Oleh Adi Safarman




