20 penghuni tinggal sehelai sepinggang asrama pekerja hangus   

Facebook
WhatsApp

BINTULU: Seramai 20 penghuni hilang tempat berteduh apabila asrama pekerja 10 pintu di Ladang Semanok di sini musnah sepenuhnya dalam satu insiden kebakaran, tengah malam tadi.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 11.46 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati api telah memusnahkan keseluruhan struktur asrama tersebut yang dianggarkan berkeluasan 12 x 100 kaki persegi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi pemadaman melibatkan enam anggota dengan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki bersama tiga nozel air dari sumber jentera dan air terbuka. 

Api berjaya dikawal pada 12.46 tengah malam sebelum operasi tamat sepenuhnya sekitar 1.55 pagi.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Kuarters sekolah lama musnah 100 peratus dalam kebakaran

BEKENU: Sebuah kuarters Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Luar Bandar Miri jenis tidak kekal satu tingkat yang sudah lama dan tidak berpenghuni musnah 100 peratus dalam kebakaran di sini hari ini. Bangunan berukuran kira-kira 30 x 20 kaki persegi itu terbakar sepenuhnya ketika pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah tiba di lokasi. Menurut kenyataan BBP Batu Niah, panggilan kejadian itu telah diterima pada 9.31 pagi dan sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejauh 63 kilometer.  “Tiba di lokasi pada 10.30 pagi dan beberapa pekerja yang berada di lokasi turut berusaha memadam kebakaran menggunakan sumber air daripada paip berhampiran sementara menunggu ketibaan pasukan bomba. “Hasil pemeriksaan awal mendapati kuarters berkenaan merupakan bangunan lama dan usang serta tidak mempunyai sambungan bekalan elektrik selain tidak berpenghuni. “Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Batu Niah menjalankan penilaian awal sebelum melaksanakan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada pili bomba berhampiran,” kata kenyataan itu.  Katanya, pasukan bomba berjaya mengawal dan memadam kebakaran sepenuhnya sebelum operasi diteruskan dengan kerja-kerja pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahagian yang berpotensi menyebabkan kebakaran semula. “Pasukan turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian sebelum operasi ditamatkan dan keadaan disahkan selamat,” katanya lagi.  Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. Turut berada di lokasi ialah dua anggota dari Balai Polis Bekenu bagi membantu kawalan dan keselamatan di tempat kejadian.