SARATOK: Sejumlah RM5 juta keseluruhan nilai pampasan telah diagihkan kepada 20 penerima bagi melaksanakan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Roban Fasa 2.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata SPK Roban Fasa 2 ini telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak pada Jun tahun lalu dan notis berkanun seksyen 48 dan seksyen 5 (3)&(4) Kanun Tanah Sarawak telahpun diluluskan pada September lalu bagi tujuan pengambilan balik tanah projek tersebut.
“Kita dapat lihat pelbagai projek pembangunan infrastruktur yang diluluskan, telah dan sedang dilaksana oleh kerajaan. Sebagai contoh kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, implementasi projek jalan utama kedua, pembinaan jalan baharu, naik taraf jalan sedia ada, pembinaan jambatan, menara telekomunikasi, bekalan elektrik, bekalan air, skim penempatan semula (SPS), SPK dan lain-lain projek.
“Oleh kerana itulah kerajaan perlu mengambil balik tanah sama ada ia melibatkan tanah berhakmilik ataupun tertakluk tuntutan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) untuk melaksanakan projek pembangunan infrastruktur untuk kepentingan awam dan demi memberi nikmat secara langsung kepada rakyat seperti menyediakan prasarana serta infrastruktur yang lebih sempurna,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap menyempurnakan majlis penyerahan cek pampasan tanah bagi projek SPK Roban Fasa 2 bertempat di Dewan Pejabat Daerah Saratok, hari ini.
Mohamad Duri berkata semua tanah yang diambil balik akan dibayar pampasan berdasarkan penilaian daripada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.
“Pampasan ini akan dinilai sewajarnya berdasarkan tanaman yang ada, struktur binaan jika ada dan saiz tanah yang terlibat mengikut nilai semasa,” katanya.
Mohamad Duri menambah usaha ini membuktikan bahawa kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sememangnya prihatin dalam memajukan kawasan luar bandar di negeri ini.
“Kita bangunkan skim pembesaran kampung sekali gus memberikan pampasan kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Turut hadir, Residen Bahagian Betong, Richard Michael Abu Nawas; Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Betong, Moris Nyaup; Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid dan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK).
Oleh Adi Saparman