20.233 kilometer Jalan Ulu Rimbas dinaik taraf, siap Julai 2028

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas semasa mebyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Jalan Ulu Rimbas, hari ini. Foto: Dr Richard Rapu

DEBAK: Sekitar 1,577 penduduk daripada 12 komuniti di Ulu Rimbas bakal menikmati jaringan perhubungan lebih selamat dan selesa menerusi projek menaik taraf Jalan Ulu Rimbas sepanjang 20.233 kilometer yang disasarkan siap pada Julai 2028.

Projek berkenaan dilihat sebagai langkah penting memperkukuh infrastruktur luar bandar di Daerah Betong, khususnya bagi komuniti yang bergantung kepada jalan tersebut sebagai laluan utama dalam kehidupan seharian.

Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dengan turut dihadiri Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.

Projek yang mempunyai tempoh kontrak 24 bulan itu dijangka membawa perubahan ketara kepada penduduk Ulu Rimbas apabila siap kelak.

Naik taraf jalan bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna, malah dijangka memendekkan masa perjalanan serta melancarkan pergerakan penduduk ke kawasan sekitar.

Bagi 12 komuniti terbabit, jalan yang lebih baik bermakna akses lebih mudah kepada kemudahan asas, sekolah, perkhidmatan kesihatan serta peluang ekonomi.

Pada masa sama, jaringan perhubungan yang lebih cekap dijangka merancakkan aktiviti sosioekonomi setempat dengan memudahkan pergerakan penduduk dan hasil ekonomi dari kawasan luar bandar.

Projek itu turut memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya turut memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

Dengan penyiapan disasarkan pada Julai 2028, Jalan Ulu Rimbas dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan mobiliti dan kualiti hidup penduduk di kawasan berkenaan.

Bagi 1,577 penduduk yang bakal menerima manfaatnya, projek ini bukan sekadar menaik taraf jalan sepanjang 20.233 kilometer, tetapi membuka laluan lebih luas kepada kemudahan, perkhidmatan dan peluang pembangunan.

Oleh Adi Safarman