SIBU:Seramai 197 penumpang dengan menaiki dua pesawat AirAsia tiba di Lapangan Terbang Sibu petang semalam dan akan dihantar ke dua buah hotel di sini bagi menjalani proses kuarantin 14 hari.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, pesawat pertama AK5872 yang membawa seramai 104 penumpang mendarat pada jam 5.00 petang.
“Empat buah bas dan sebuah van telah disediakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu untuk menghantar semua penumpang ke pusat orang di bawah pengawasan (PUS) ke hotel terpilih.
“Pecahan penumpang yang akan menjalani proses kuarantin di hotel berkenaan termasuk 74 lelaki dewasa dan 30 perempuan termasuk tiga orang kanak-kanak,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita petang semalam.
Menurutnya, pesawat kedua AK 5870 yang membawa seramai 107 penumpang termasuk 47 lelaki dan 46 perempuan serta seorang bayi tiba di Lapangan Terbang Sibu (LTS) pada jam 7.00 malam semalam.
“Kesemua mereka dalam kumpulan kedua tersebut dibawa ke sebuah lagi hotel.
“Kawalan Keselamatan dan Eskot Penumpang AirAsia ke Pusat Kuarantin Sibu Covid 19 telah dibantu oleh petugas-petugas dari IPD Sibu,” ujarnya.
Katanya, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menguruskan pemeriksaan kesihatan penumpang di samping Angkatan Pertahanan Awam yang berperanan sebagai pasukan pendaftaran masuk ke pusat PUS dan RELA membantu mengawal keselamatan di hotel yang terlibat.
“Semua urusan penghantaran penumpang sehingga ke lokasi pusat kuarantin di kedua-dua hotel telah berjalan lancar dan selamat,” ujar beliau.