SELANGAU: Sejumlah RM195,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) diagihkan kepada 19 penerima di kawasan DUN Tamin pada Sabtu lalu.
Para penerima terdiri daripada 16 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sekitar Selangau, Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) Cawangan Selangau, Persatuan Bomba Sukarela Munggu Lalang dan Kelab Kebajikan Agro Sarawak.
Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Ir. Christopher Gira Sambang di Rumah Nicholas Ngerembang Ngelambong sempena Majlis Perasmian JKKK Terabai Sekuau.
Dalam ucapan perasmiannya, Gira berharap peruntukan tersebut boleh digunakan secara berhemah untuk keperluan aktiviti JKKK, rumah panjang, persatuan dan kelab mereka.
“Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) benar-benar komited meningkatkan taraf kehidupan rakyat di negeri ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut berharap agar rakyat terus memberi kepercayaan kepada kerajaan pimpinan GPS agar agenda dan usaha menaik taraf kehidupan luar bandar dapat diteruskan seperti yang dirancang.
“Semua penerima harus memanfaatkan sebaik-baiknya bantuan ini demi pembangunan komuniti setempat secara keseluruhannya,” ujarnya.
Pada majlis sama, beliau turut memperuntukan MRP sebanyak RM30,000 untuk JKKK Rumah Nicholas.
Turut hadir, isteri Gira, Anita Anthony Ijan, Penghulu Ngalai Asom, Penghulu Christopher Chat, Penghulu Bansa Kunchau, Penghulu Julia Awal, Penghulu Thomas Jawa, Penghulu Busang Bedindang serta ketua komuniti setempat.
Oleh Tarani Lanting