MARUDI : Sebanyak 19 batang jalan di kawasan Mulu akan dinaiktaraf ke R1 dengan kos RM1.2 bilion, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Dato Gerawat Gala.
Katanya daripada 19 projek jalan yang akan dinaik taraf itu di bawah Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA), sebanyak 13 jalan sepanjang 241 kilometer dengan jumlah kos RM600,692,00 adalah dalam kawasan N78 Mulu.
“Ini termasuk jalan Kuala Tutoh ke Benawa sepanjang 11 kilomter dengan anggaran kos pembinaan RM19.7 juta,” kata Gerawat berucap di majlis pemimpin bersama Rakayat di Kampung Kuakla Tutoh.
Dalam pada itu tegasnya jalan dari Miri-Marudi-Kuala Linei – Long Panai ke simpang Long Lama dan simpang ke Long Terawan-Kuala Melinau –Long Iman dengan anggaran kos pembinaan RM1.3 bilion, yang mana kerja pembinaan bermula 2021 dan dijangka siap 2015.
Sementara itu menyentuh pembangunan bekalan elektrik 24 jam, Gerawat berkata sebanyak 85 peratus kampung-kampung di kawasan N.78 Mulu masih dalam proses pelaksanaan SARES termasuk di kampung Kuala Tutoh.
Beliau minta Sarawak Energy Berhad (SEB) dapat menyiapkan SARES sebelum sambutan Krismas tahun ini.
Katanya 21 buah lagi kampung di kawasannya yang belum dapat SARES akan dibekalkan pada tahun 2021 manakala Kampung Malinau dan Batu Bungan akan dapat ‘Power Station’ pada awal 2022.
Dalam pada itu Gerawat menegaskan sebanyak 20 projek loji air bersih dengan jumlah kos RM300 juta akan dilaksanakan di bawah HDA.
Daripada jumlah 20 projek tersebut, 12 projek berjumlah RM175 juta termasuk loji air bersih untuk Kampung Kuala Tutoh dengan kos RM10 juta.
Gerawat berharap dengan projek-projek rakyat ini, penduduk Kuala Tutoh akan terus yakin dengan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan memberi sokongan kuat kepada GPS pada pilhan raya negeri akan datang.
Sehubungan itu menyentuh Parti Sarawak Bersatu (PSB), Gerawat menyatakan bahawa PSB tidak ada hubungan dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan tidak mungkin akan diberi ruang atau kesempatan untuk berunding tentang MA63.
Katanya GPS meskipun bukan ahli Perikatan Nasional (PN) GPS bekerjasama yang rapat dengan PN dan lebih mudah untuk beerunding dengan kerajaan pusat PN plus GPS tentang hak-hak Sarawak dalam MA63.
“Jangan terpedaya dengan janji-janji PSB dan PKR di mana GPS bukan hanya berjanji tetapi sudah terbukti menunaikan janji, GPS “deliver on promises,’ tambah Gerawat.