JULAU: Seramai 180 peserta yang terdiri daripada penduduk rumah panjang di Rumah Panjang Nyandang, Nanga Lasi telah menyertai program Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP).
Program selama dua hari tersebut ditutup secara rasmi petang kelmarin yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Rolland Duat Jubin.
Program anjuran Jabatan Pertanian Daerah Julau Dan Pertubuhan Peladang Kawasan Julau / Pakan yang diadakan untuk kali ke-6
itu bertujuan merapatkan lagi hubungan dan kerjasama antara Jabatan Pertanian dan golongan masyarakat petani dan peladang di kawasan pedalaman dan luar bandar serta memberi pendedahan secara langsung mengenai teknologi pertanian yang terkini melalui syarahan, pameran, model serta demonstrasi pertanian.
Dalam masa sama, ia meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran pelbagai golongan sasaran dalam sektor industri pertanian meningkatkan pengeluaran kualiti hasil dan produk pertanian dan seterusnya meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi mereka seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
Rolland Duat pada majlis penutupan program AgriCOP tersebut memaklumkan bahawa beliau telah memperolehi peruntukan RM120,000 untuk mengadakan 8 siri program tersebut dan RM1 juta untuk projek penanaman Durian Musang King di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Meluan.
“Saya mengharapkan semua peserta dan masyarakat di Meluan yang terlibat memastikan projek ini berjaya seperti yang dihasratkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau juga telah memuji usaha Jabatan Pertanian Bahagian Sarikei yang telah berjaya menganjurkan program ini.
Pada majlis sama, Rolland turut menyerahkan cek berjumlah RM70,000 untuk 16 Biro Wanita dan enam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kawasan Lasi.
Turut hadir, Penasihat Biro Wanita DUN Meluan, Ulat Pengarah, Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Brian Fung Kok Shiun dan wakil Pegawai Petanian Bahagian Sarikei, Embuas Bandar.