MUKAH: Kerajaan terus memperkukuh usaha memelihara sumber perikanan negara menerusi pelancaran Program Melabuh 18 unit Tukun Tiruan Jenis Penghalang Pukat Tunda di Perairan Laut Penipah, Mukah, hari ini.
Menurut kenyataan media Jabatan Perikanan Laut Sarawak, program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Hanifah Hajar Taib sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa pemuliharaan ekosistem marin di perairan Sarawak.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian, Abdul Yakub Arbi; Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Dato’ Adnan Hussain; wakil Kementerian Ekonomi, Dato’ Zul Hadi Ahmad; wakil Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Saifullizan Kamarul Zaman serta Pengarah Kanan Jabatan Perikanan Laut Sarawak, Abdul Rahman Abdul Wahab.
Program berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia melalui Jabatan Perikanan Laut Sarawak dengan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) berjumlah RM3.892 juta bagi pembangunan tukun tiruan di perairan Sarawak.
Bagi Perairan Laut Penipah, Mukah, hampir RM500,000 diperuntukkan khusus bagi pembinaan tukun penghalang pukat tunda yang meliputi kerja pembinaan, pengangkutan, pelabuhan dan pemantauan.
Menurut kenyataan itu, pemasangan tukun tiruan tersebut bertujuan menghalang aktiviti pencerobohan pukat tunda di kawasan pesisir yang boleh menjejaskan sumber perikanan serta habitat marin.

Selain itu, inisiatif berkenaan turut membantu memulihkan ekosistem dasar laut dengan menyediakan kawasan perlindungan dan pembiakan bagi pelbagai spesies hidupan marin.
Sejak tahun 1998, sebanyak RM6.758 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan projek tukun tiruan di kawasan Mukah sebagai usaha berterusan memulihara habitat marin dan meningkatkan sumber perikanan.
Pelaksanaan projek itu juga diyakini mampu meningkatkan hasil tangkapan nelayan tempatan sekali gus memberi manfaat kepada komuniti pesisir yang bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan.
Jabatan Perikanan Laut Sarawak menjelaskan bahawa pembangunan tukun tiruan merupakan antara strategi penting dalam memastikan pengurusan sumber perikanan dilaksanakan secara mampan.
Usaha berterusan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk melindungi kawasan pembiakan hidupan laut di samping memastikan keseimbangan ekosistem marin terus terpelihara.
Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak akan terus diperkukuh bagi menjamin kelestarian sumber perikanan negara demi kesejahteraan komuniti nelayan serta manfaat generasi masa kini dan akan datang.
Oleh Adi Safarman




