THAILAND: Kastam Thailand merampas 200,000 bungkus rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM2.2 juta dipercayai dari Malaysia, dalam satu operasi Khamis lepas.
Ketua Bahagian Siasatan dan Pencegahan Pejabat Kastam Wilayah Songkhla Apinin Shinnawong berkata Kastam Songkhla mengesan sebuah treler dalam keadaan mencurigakan di sempadan Ban Prakob di Na Thawi, Songkhla.
“Hasil pemeriksaan, pegawai kastam menjumpai 800 kotak besar yang mengandungi 200,000 bungkus kecil rokok dipercayai memasuki negara ini dari Malaysia.
“Rokok seludup itu untuk dijual kepada peniaga di Selatan Thailand dan Bangkok,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, pegawai penyiasat di Balai Polis Satorn, Na Thawi, Songkhla Pol. Lt. Kol. Weeranit Maisiri berkata polis menahan pemandu treler warga Thai berumur 31 tahun.
“Bertindak daripada bukti dan keterangan saksi, pihak polis menahan lelaki tersebut di satu lokasi berdekatan dengan lokasi operasi,” katanya kepada Bernama. Weeranit berkata lelaki itu menafikan bahawa beliau terlibat menyeludup rokok dari Malaysia dan diikat jamin dengan 100,000 baht.- Bernama