
KOTA SAMARAHAN: Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William berkata 17 motosikal telah diperiksa dan lima motosikal yang didapati diubah suai secara haram telah disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam satu operasi baru-baru ini.
Beliau berkata, sebanyak 20 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan melibatkan motosikal yang ditahan.
Barry berkata, operasi bersepadu itu dijalankan susulan aduan orang awam berhubung kegiatan lumba haram yang mengganggu ketenteraman.
Menurutnya, operasi tersebut dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan bersama beberapa unit lain di sepanjang Jalan Kota Samarahan–Sadong Jaya di Kampung Rembus baru-baru ini.

Barry berkata, kebanyakan penunggang yang ditahan berumur di bawah 30 tahun.
Beliau berkata, operasi seumpama ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti tidak sihat dalam kalangan belia serta sebagai usaha polis mencegah kemalangan jalan raya.
Beliau menasihatkan golongan belia dan orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti berbahaya yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, khususnya aksi seperti ‘superman’ dan ‘wheelie’ yang boleh membawa kepada penahanan dan pertuduhan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau menambah, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dan kenderaan boleh disita sekiranya aktiviti tersebut berterusan.
“Ingatlah orang tersayang dan hargai nyawa diri sendiri,” katanya.
Oleh Connie Chieng