
PETRA JAYA: Cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang telah diluluskan di peringkat negeri masih belum dapat dilaksanakan kerana masih menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan.
Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, usul berkenaan telah dibentangkan dan mendapat sokongan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak kira-kira setahun lalu, namun proses di peringkat Persekutuan masih belum dimuktamadkan.
Menurut beliau, cadangan tersebut melibatkan pertambahan kerusi DUN Sarawak daripada 82 kepada 99 kerusi bagi menampung keperluan semasa negeri.
“Walaupun DUN sudah meluluskan cadangan tersebut, pelaksanaannya masih tertakluk kepada prosedur termasuk proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di peringkat berkaitan.
“Dalam Perlembagaan, semakan sempadan hanya boleh dibuat selepas lapan tahun dan kita telah melepasi tempoh itu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Tambah beliau, cadangan itu hanya melibatkan kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak dan tidak membabitkan kerusi Parlimen.
Jelasnya, sekiranya semua proses diluluskan dalam masa terdekat, kemungkinan besar kerusi tambahan itu hanya akan digunakan pada pilihan raya negeri akan datang.
“Walaupun diluluskan nanti, ia mungkin hanya berkuat kuasa pada PRN seterusnya,” ujarnya.