SIBU: Seramai 16 penghuni sempat menyelamatkan diri pada kebakaran membabitkan satu blok rumah berkembar dua tingkat di Jalan Yun Chai Lok, Sungai Bidut, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah, Abdul Mutalib Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.18 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bersama pasukan bantuan dari BBP Sentral Sibu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan satu blok rumah kediaman berkembar dua tingkat berstruktur kekal. Rumah pertama terbakar dalam anggaran 90 peratus dan rumah kedua dalam 60 peratus,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak membuat pemadaman menggunakan tiga aliran 400 kaki lima nozel sumber air dari pili bomba dan air terbuka bagi menghalang api daripada merebak.
“Tindakan mendirikan tangga ke tingkat atas rumah turut dilakukan untuk membuat pemadaman di bahagian tingkat atas rumah.
“Operasi terkawal pada 9.36 pagi dan kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan di bahagian garaj kereta rumah pertama tempat penyimpanan longgokkan beg plastik,” katanya.
Abdul Mutalib berkata, kebakaran tiada melibatkan kemalangan jiwa, kesemua penghuni berjaya keluar rumah dan selamat.
“Terdapat sebuah kenderaan turut terbakar 100 peratus. Operasi tamat sepenuhnya pada 3.56 petang,” katanya.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
MUSNAH…..Satu blok rumah berkembar dua tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Yun Chai Lok, Sungai Bidut, pagi tadi.