KUCHING: Sebanyak 16 pasukan berentap pada Kejohanan Touch Kuching (KTC) 2023 anjuran Persatuan Touch Sarawak (STA) dan Perbadanan Sukan Sarawak yang berlangsung hari ini dan esok.
Kejohanan dua hari itu merupakan touch major yang kedua dan terbesar diadakan di Sarawak di bawah STA berpandukan peraturan bermain Persekutuan Touch Antarabangsa (FIT).
Presiden Persatuan Sukan Touch Malaysia Samsul Norazim berkata, pembangunan touch di Sarawak lebih baik dari tahun sebelumnya.
“Penyertaan juga sangat menggalakkan pada tahun ini. Saya boleh melihat bakat-bakat baharu sangat baik dan mereka boleh melangkah lebih jauh.
“Gabungan Sarawak dan Semenanjung untuk menjadi satu pasukan boleh menjadi kenyataan pada masa akan datang.
“Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan Sarawak, Sabah dan Semenanjung untuk membangunkan sukan touch lebih jauh di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa perasmian Kejohanan Touch Kuching (KTC) 2023 di Padang D, Jalan Stadium di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Samsul memaklumkan bahawa permainan touch belum disenaraikan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
“Sukan ini masih diiktiraf sebagai sukan rekreasi. Visi utama saya adalah untuk menjadikan touch sebagai satu sukan yang boleh dimainkan dalam SUKMA, Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) supaya sukan ini boleh dikenali ramai,” katanya.
Dalam pada itu, antara pasukan yang menyertai kejohanan ini ialah, Waie & The Boys, Wolfpack , SSC Hornbill, Worc Barbarians, Blackcatz, Bay Cats, Piranhas, Saberkas Touch, Sibu Blues dan Lycan Rugby.
Kejohanan ini juga terbahagi kepada dua kategori, iaitu lelaki dan perempuan.
Turut hadir, Ketua Unit Serangan SSC Didea Sarini Ahmad, Presiden Touch Sarawak Hafisz Rachman Drahman dan Presiden Touch Kuching Fairuz Ismail.
Oleh Mohd Neenatul Aizal
Keterangan gambar
KENANGAN… Samsul Norazim dan Hafisz Rachman Drahman serta jemputan lain merakam gambar kenangan bersama pasukan touch yang menyertai Kejohanan Touch Kuching (KTC) 2023 di Padang D, Jalan Stadium, hari ini.