MANILA: Dua letupan menggegarkan sebuah bandar di pulau Jolo, selatan Filipina dan membunuh sekurang-kurangnya 15 orang termasuk anggota keselamatan dan orang awam selain turut mencederakan kira-kira 75 orang.
Pegawai tentera mengatakan dua bom meletup dalam tempoh satu jam antara satu sama lain di pulau Jolo, wilayah Sulu, pada Isnin.
Mereka mengesyaki pengeboman di pulau Jolo itu dilakukan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf, menurut laporan agensi berita CNA Menurut tentera, letupan pertama dan serangan berani mati berlaku pada waktu tengah hari, di sebuah jalan sibuk di pulau berkenaan.
Jeneral Corleto Vinluan berkata, alat letupan buatan yang dipasang pada sebuah motosikal meletup berhampiran sebuah trak tentera di luar pasar raya.
Ketika polis dan tentera turun ke tempat kejadian, letupan kedua meletus di jalan yang sama tidak lama kemudian.
“Seorang pengebom wanita berani mati meletupkan dirinya ketika seorang askar menghalangnya memasuki kawasan kawalan,” kata Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Ronaldo Mateo kepada media tempatan.
Lapan anggota pasukan keselamatan dan enam orang awam terbunuh, sementara 27 anggota keselamatan dan 48 orang awam cedera dalam letupan itu, kata laporan.
Pengebom itu juga mati Sementara itu, Jurucakap Presiden Rodrigo Duterte berkata, Presiden itu turut mengecam serangan itu dengan mengatakan ‘serangan terburuk tahun ini’.
“Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti individu atau kumpulan di sebalik serangan mengerikan ini,” kata Harry Roque.
Beliau juga berkata, setakat ini belum ada mana-mana pihak yang mengaku bertanggungjawab atas letupan tersebut.
Abu Sayyaf adalah satu daripada kumpulan militan dan Pulau Jolo di selatan Filipina, adalah kubu kuat kumpulan terkenal dengan aktiviti penculikan untuk tebusan dan kekejamannya, termasuk memenggal kepala.
Disenaraikan oleh Amerika Syarikat sebagai organisasi pengganas, kumpulan itu telah berikrar setia kepada militan IS dan sering melakukan penculikan kedua-dua warga asing dan Filipina.
Pengeboman pada Isnin berlaku susulan penangkapan seorang pemimpin Abu Sayyaf di pulau selatan Mindanao pada awal bulan ini.
Pasukan keselamatan berjaga-jaga untuk kemungkinan serangan balas.– AFP