CONNIE CHIENG
KUCHING: Seramai 142 orang ditangkap di seluruh Sarawak kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 15 April.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Dev Kumar berkata, Serian mencatat jumlah tertinggi dengan 28 tangkapan, diikuiti Padawan (21), Sibu (18), Bintulu (17), Kuching (16), Samarahan (11), Miri (8), Sarikei (7), Limbang (5), Song (4), Sri Aman, Betong dan Meradong (2 masing-masing) dan Lundu (1).
“Jumlah keseluruhan tangkapan mencatat 775 orang setakat ini manakala 733 orang dikompaun dan 484 orang didakwa,” tegas beliau.
Dev Kumar berkata, bermula 15 April, mereka yang mengingkari PKP tidak lagi akan dikompaun tetapi akan ditangkap dan ditahan di lokap masing-masing. Jika tidak ditahan, suspek akan dibebaskan dengan ikat jamin.
Kertas siasatan kemudian akan dirujuk kepada pendakwa raya untuk keputusan sama ada untuk mendakwa atau tidak. Jika disabit kesalahan di mahkamah, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-dua sama sekali.
Dev Kumar menyeru orang ramai supaya mematuhi PKP peringkat ketiga bermula 15 hingga 28 April. Beliau berkata polis tidak hanya akan beroperasi menerusi sekatan jalan tetapi turut membuat rondaan di kawasan-kawasan perumahan.
Beliau memberi amaran bahawa pihak polis akan terus membuat tangkapan terus kepada sesiapa yang mengingkari PKP tanpa sebarang amaran atau nasihat.