MARUDI: Sebanyak 14 keluarga mangsa ribut dari Kampung Pemindahan dan Kampung Dagang di sini menerima bantuan daripada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Bahagian Miri.
Bantuan berupa kotak makanan, Makanan Sedia Dimakan(MRE) dan Bakul Kasih Kenyalang itu diserahkan Ketua Bahagian Tabung Baitulmal Sarawak Bahagian Miri, Marini Juraibi, di Surau Kampung Pemindahan, Marudi pada Isnin lepas.

Dalam kejadian Ahad lepas, lebih 30 rumah dan premis perniagaan, termasuk pejabat kerajaan, terjejas teruk akibat dilanda angin kencang pada kira-kira 4.30 petang.
Sebahagian besar rumah yang terjejas mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, termasuk atap tercabut dan siling bocor, selain kerosakan pada beberapa struktur lain.
Turut hadir pada majlis penyerahan bantuan itu ialah Penghulu Mohammad Majid dan Rakan Zakat Baitulmal Marudi-Baram, Zulkifli Musa.
Oleh Jiku Juguong




