139 warga emas di Senadin terima KGC

Facebook
WhatsApp
KENANGAN… Datuk Lee Kim Shin bersama para penerima Kenyalang Gold Card menunjukkan tanda bagus selepas majlis penyerahan kad tersebut di SMK Riam di Miri, semalam.

MIRI : Seramai 139 warga emas dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senadin menerima Kenyalang Gold Card (KGC) pada satu majlis di sini semalam.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, kesemua penerima kad tersebut merupakan kumpulan kedua pemohon KGC yang diterima oleh Pusat Khidmat DUN Senadin.

Katanya, sehingga kini, seramai  281 warga emas di kawasan DUN Senadin telah menerima kemudahan kad khas tersebut sejak Julai lalu tetapi masih ramai yang memenuhi syarat untuk mendapatkan KGC belum memohon.

“Justeru, saya berharap mereka yang layak iaitu warganegara Malaysia berumur  60 tahun ke atas, supaya memohon KGC ini,” katanya pada majlis penyerahan KGC di Sekolah Menengah Kebangsaan Riam di sini, semalam.

Lee berkata, pemohonan boleh dilakukan menerusi laman web http://kenyalanggold.com.

“Mereka yang layak juga boleh tampil ke Pusat Khidmat DUN Senadin atau pejabat cawangan di Riam untuk mendapatkan bantuan memohon KGC jika menghadapi sebarang masalah dalam membuat permohonan menerusi internet,” katanya.

KGC merupakan  antara inisiatif kerajaan negeri bagi menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga emas.

Pelbagai manfaat yang dinikmati oleh pemegang kad ini antaranya, mereka boleh menikmati diskaun rawatan di klinik atau hospital, tiket penerbangan serta pengangkutan, perlindungan insurans dan diskaun pembelian barangan keperluan.

Oleh Liong Chai Ling