13 individu ditahan dalam Op Tapis Khas Narkotik Kota Samarahan

Facebook
WhatsApp
SEPANJANG Operasi Tapis Khas Narkotik Kota Samarahan.

KOTA SAMARAHAN: Polis menahan 13 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dalam Op Tapis Khas Narkotik yang dijalankan di sekitar daerah Kota Samarahan dari 7 September hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Supt Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, operasi tersebut dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) IPD Kota Samarahan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

Katanya, kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 1.9 gram dadah disyaki syabu serta 88 gram cecair dipercayai mengandungi dadah,” katanya.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM15,915.

Irwan Hafiz berkata, kesemua suspek telah dibawa ke Mahkamah Kota Samarahan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan.

Beliau berkata kejayaan operasi itu adalah hasil risikan berterusan, tindakan penguatkuasaan serta kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan dadah boleh menghubungi talian hotline JSJN Bukit Aman di 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.