SARIKEI: Seramai 30 pemilik ditawarkan untuk memiliki unit Rumah SPEKTRA Permata (RSP) Susur Jambu dengan 12 daripada mereka telah menerima kunci rumah masing-masing.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berkata, projek ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan akses perumahan mampu milik kepada rakyat.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada 30 pemilik yang berjaya ditawarkan untuk memiliki unit RSP Susur Jambu.
“Momen ini pastinya membawa kegembiraan buat anda dan keluarga, dan saya selaku ADUN Kuala Rajang, termasuk pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) amat berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada perjalanan ini,” katanya.
Len Talif berkata demikian berucap pada majlis penyerahan kunci RSP Skim Pembesaran Kampung (SPK) Susur Jambu bertempat di Dewan Serbaguna, Pejabat Residen Sarikei, semalam.
Katanya, projek pembinaan 30 unit rumah RSP ini telah siap sepenuhnya pada 30 November 2024 dengan kos keseluruhan RM7.96 juta.
“Dari segi teknikal, rumah-rumah ini dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), yang memastikan pembinaan lebih cekap dan berkualiti.
“Setiap unit mempunyai keluasan 850 kaki persegi dan dilengkapi dengan tiga bilik tidur, ruang tamu, serta dua bilik mandi,” katanya.
Len Talif berkata, semua kerja fizikal telah siap sepenuhnya dan Sijil Menduduki (Occupation Permit) telah dikeluarkan oleh Majlis Daerah Sarikei (MDS) pada 20 Januari 2025.
“Bagi memastikan kelancaran peralihan, penyerahan projek daripada kontraktor kepada HDC dicadangkan oleh Pejabat Wilayah Sibu untuk dilaksanakan pada 21 Februari 2025.
“Pembangunan projek perumahan ini bukan sekadar penyediaan tempat tinggal, malah membawa impak positif kepada sosioekonomi masyarakat setempat.
“Pertambahan jumlah penduduk dijangka merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, memberikan peluang kepada peniaga kecil, meningkatkan nilai hartanah, serta menggalakkan lebih banyak pembangunan infrastruktur di Sarikei dan Kuala Rajang,” katanya lagi.
Tambahnya, sepanjang tempoh pembinaan, projek ini telah membuka peluang pekerjaan dan membantu merancakkan aktiviti perniagaan tempatan, menjadikannya sebagai satu langkah positif ke arah pembangunan komuniti yang lebih dinamik dan mampan.
Terdahulu, beliau telah melakukan simbolik perasmian penyerahan kunci RSP Susur Jambu dan menyaksikan penyerahan projek siap daripada pihak kontraktor kepada Pengerusi HDC yang juga ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi di RSP Susur Jambu.
Oleh Earl Anek