SIBU: Sebanyak 11 premis di Sibu menerima Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) 2021 daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Ketua Cawangan KPDNHEP Sibu, Kelyn Bolhassan @ Haliward berkata, penganugerahan AKHP ini adalah bagi mengiktiraf premis perniagaan yang menjual barangan pada harga yang berpatutan dan berdaya saing serta setanding dengan kualiti barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.
Katanya, penganugerahan AKHP 2021 di Sarawak melibatkan 139 premis, terdiri daripada lapan kategori iaitu pasar raya besar, pasar raya, pasar mini, kedai runcit, kedai alat tulis atau buku, kedai pakaian, kedai makan dan gerai makan.
“Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan beberapa kriteria seperti harga barangan yang berpatutan kepada pengguna, penyediaan perkhidmatan yang berkualiti, persekitaran premis yang kondusif dan peragaan produk yang menarik.
“Syabas dan tahniah kepada premis-premis yang terpilih bagi AKHP 2021, semoga terus menawarkan harga yang berpatutan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Antara premis perniagaan yang menerima AKHP 2021 di Sibu ialah Usu Imoi Selera Semenanjung (gerai makan), Ys Cafe (kedai makan), Azra Boutique (kedai pakaian) dan Daesco Sdn. Bhd. (pasar raya).
Dalam pada itu, Kelyn turut mengingatkan para peniaga supaya sentiasa mematuhi peruntukan undang-undang dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan.
Katanya, pengguna perlu mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka dengan bijak.
“Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kementerian ini, pengguna boleh menyalurkan aduan mereka.
“Aduan boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, atau melalui e-aduan.kpdnhep.gov.my
“Orang ramai juga boleh hadir ke pejabat KPDNHEP Cawangan Sibu di Tingkat 1, Wisma Persekutuan Blok 3, atau hubungi nombor telefon pejabat KPNDHEP Cawangan Sibu : 084-335622 atau Whatsapp ke 019-279 4317,” jelasnya.