MIRI : Sebanyak 11 syarikat pengusaha bas henti-henti di seluruh Sarawak layak menerima Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) berjumlah RM5.6 juta dari Kerajaan Persekutuan bagi 2021-2022.
Syarikat itu ialah Petra Jaya Transport (S) Sdn Bhd, Biaramas Express Sdn Bhd, Bau Transport Company Sdn Bhd, City Public Link Bus Service Sdn Bhd, Lanang Road Bus Company Berhad, Rejang Transport Sdn Bhd, Sungei Merah Bus Berhad, Teku Road Bus Co Sdn Bhd, Miri Transport Co Sdn Bhd, Miri City Bus Sdn Bhd, Miri Belait Transport Company Sdn Bhd.
Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin berkata, DBSPB yang dahulunya dikenali sebagai Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) telah diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2012 dengan penambahbaikan telah dibuat melalui pemeteraian perjanjian antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan dan syarikat pengusaha bas berhenti-henti.
“DBSPB bukan sahaja bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan bas berhenti-henti, tetapi bertujuan meningkatkan persepsi dan keyakinan para penumpang bas terhadap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam di Sarawak.
“Oleh itu, dalam usaha mencapai sistem perkhidmatan bas bertaraf dunia, penting bagi kerajaan untuk menyokong syarikat-syarikat pengusaha bas henti-henti ini bagi memastikan mereka dapat meneruskan perkhidmatan dengan cemerlang dalam industri pengangkutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Dana Bantuan Sementara Pengusaha Bas Berhenti-Henti (DBSPB) Negeri Sarawak bagi 2021-2022 yang diadakan di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Miri,semalam.
Perjanjian tersebut ditandatangani Pengarah Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak, Razami Mohamad Jamali yang mewakili Kerajaan Persekutuan dan para pengurus syarikat pengusaha bas berhenti-henti di Sarawak yang layak menerima bantuan dana..
Hadir sama Pengerusi LPKP Sarawak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Ripin Lamat.
Kim Shin menambah, DBSPB bertujuan untuk menangani kerugian dalam operasi harian para pengendali bas berhenti-henti bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan, menggalakkan mereka memulihkan laluan yang telah ditamatkan perkhidmatan dan mendorong mereka untuk meningkatkan mutu perkhidmatan dengan menambah kekerapan perjalanan dan membaiki keadaan bas.
Menurut beliau, DBSPB yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan ini merupakan pelengkap kepada Program Tambang Bas RM1.00 yang dijalankan oleh Kerajaan Sarawak.
Katanya, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pengangkutan Sarawak telah melaksanakan Program Tambang Bas RM1.00 sehala di bawah Subsidi Pengangkutan Awam di Kuching, Miri dan Sibu.
“Program ini melibatkan 50 laluan di seluruh Sarawak yang mana 18 laluan masing-masing di Kuching dan Sibu dan 14 di Miri.
“Pelaksanaan program ini telah bermula pada Mei 2020 sehingga Disember 2020 yang mana jumlah kumulatif pengguna bas berhenti-henti adalah 1.22 juta.
“Memandangkan program ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada pengguna bas berhenti-henti, program subsidi ini dilanjutkan oleh Kerajaan Sarawak pada 2021,”katanya.
Tambah beliau, jumlah pengguna bas berhenti-henti pada Januari 2021 adalah seramai 186,512 dengan melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM751,530.
“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif pengguna bas berhenti-henti bagi tempoh masa sembilan bulan mulai Mei 2020 sehingga Januari 2021 adalah 1.418 juta dan melibatkan jumlah subsidi sebanyak RM5.99 juta,” ujarnya.
Oleh LIONG CHAI LING