MIRI: Polis menahan 11 lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan ke atas sebuah premis pusat hiburan tiga tingkat di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, serbuan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Nakotik IPK Sarawak sekitar jam 9.45 malam.
“Hasil serbuan itu menjumpai dan merampas 18 biji pil disyaki dadah jenis Erimin 5 seberat 5.10 gram, satu paket plastik lutsinar berisi 15 batang rokok berisi dedaun kering disyaki dadah jenis ganja seberat 16.70 gram.
“Turut ditemui satu bekas plastik bulat berpenutup bulat berisi serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin seberat 44.80 gram dan satu bekas plastik bulat berpenutup merah yang didalamnya berisi serbuk campuran disyaki dadah jenis ekstasi seberat 362.00 gram.
“Jumlah rampasan adalah bernilai RM20,034.70,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Kesemua suspek telah direman selama tujuh hari dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 kali.
Alexson juga menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah untuk segera melaporkannya di balai polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Oleh LIONG CHAI LING