SIMANGGANG: Sejumlah 11 keluarga dari sekitar kawasan bandar ini telah menerima agihan tangki simpanan air yang disalur oleh Kementerian Utiliti menerusi pihak Pejabat Residen Sri Aman.
Keluarga berkenaan datangnya dari Kampung Dayak, Jalan Kejatau yang terdiri daripada tujuh penerima, Jalan Kin Chung dalam kawasan Jalan Brayun (2) dan Kampung Sri Wangi, Kejatau (2).
Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis menyampaikan tangki simpanan air kepada semua penerima sambil disaksikan oleh Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd. Ashree Wee.
“Agihan tangki simpanan air ini adalah merupakan sebahagian daripada tindakan Kerajaan Sarawak untuk memenuhi permintaan penduduk yang pernah memohon kemudahan itu sebelum ini.
“Kelayakan pemohon akan diperiksa terlebih dahulu. Setelah pemohon didapati menepati kriteria dan syarat kelayakan maka barulah mereka akan menerima tangki simpanan air ini daripada kerajaan,” kata Harden.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihat penerima agar menghargai sepenuhnya kemudahan tersebut dan tidak bertindak menjualnya kepada orang lain untuk keuntungan diri sendiri.
“Tangki simpanan air ini adalah satu kemudahan penting. Gunakan kemudahan ini untuk menyimpan air bagi menghadapi kemarau dan bukannya dijual kepada orang lain untuk tujuan keuntungan mudah semata-mata,” kata beliau.
Turut hadir, Temenggung Kueh Aik Seng, Pemanca Lee Shiang Hua, Penghulu Tiong Chong Onn dan Kapitan Tay Shiew Chuan.
Oleh Valentine Ngumbang