
SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh menjadikan usaha membantu penduduk di 106 rumah panjang di DUN Bawang Assan sebagai keutamaan beliau.
Sebagai wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Bawang Assan, beliau kini berhak mendapat dana yang diperuntukkan oleh kerajaan Sarawak bagi membantu rakyat di kawasannya.
“Setiap tahun, saya ada RM8 juta, iaitu MRP (Projek Kecil Luar Bandar) sebanyak RM2 juta, RTP (Projek Transformasi Luar Bandar) RM5 juta dan PPRMS (Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak) RM1 juta.
“Jumlah RM8 juta setiap tahun adalah untuk membantu rakyat di kawasan saya, Bawang Assan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada pertemuan bersama tuai-tuai rumah di DUN Bawang Assan di Pejabat Parti Demokratik Progresif (PDP) Bawang Assan, hari ini.
Wong memberitahu, kawasan DUN Bawang Assan sangat besar, yang mana ia meliputi kawasan bandar lama Sibu, perkampungan Cina dan rumah panjang di sepanjang kedua-dua tebing Batang Rajang dan Batang Igan, hingga Bungan Besar dan Bungan Kecil.
“Jumlah pengundi di kawasan ini hampir 30,000 orang, dengan kira-kira 54 peratus pengundi Cina dan Dayak, terutamanya Iban sebanyak 46 peratus, dengan selebihnya pengundi Melayu/Melanau.
“Di samping itu, ia menjadi keutamaan saya untuk membantu 106 rumah panjang di bawah jagaan saya.
“Dengan dana kerajaan yang diperuntukkan, saya akan cuba membantu sebanyak mungkin rumah panjang, seramai mungkin penduduk. Dalam erti kata lain, saya akan cuba membantu setiap rumah panjang sebaik mungkin,” katanya.
Pada masa sama, Wong turut menyeru tuai-tuai rumah untuk memberi kerjasama kepadanya untuk sama-sama membangun. selain menegaskan bahawa setiap rumah panjang akan mendapat bantuan yang diperlukan.
“Saya akan membantu setiap tahun, tahun depan dan seterusnya, marilah kita bekerjasama. Saya kini mewakili anda dalam GPS, dalam kerajaan Sarawak. Marilah kita semua bekerjasama rapat sebagai sebuah keluarga yang bersatu untuk membantu antara satu sama lain,” katanya lagi.
Oleh Akun Giman