1,014 peserta BLM Tanjong Manis peroleh lesen motosikal, jangan sia-siakan kepercayaan 

Facebook
WhatsApp
RASMI… Dato Ir. Yusuf Abd Wahab merasmikan majlis penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Parlimen P206 Tanjong Manis, di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, hari ini.

SARIKEI: Seramai 1,014 peserta Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 Tahun 2026 Parlimen P206 Tanjong Manis telah berjaya memperoleh lesen motosikal.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, semua peserta berjaya memperoleh lesen selepas melepasi proses tapisan serta menjalani ujian dan latihan ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Untuk Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen P206 Tanjong Manis, seramai 1014 orang peserta telah berjaya mendapatkan lesen setelah selesai melalui proses tapisan dan menjalani ujian serta latihan yang telah ditetapkan oleh pihak JPJ.

“Untuk Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen P206 Tanjong Manis, seramai 1014 orang peserta telah berjaya mendapatkan lesen setelah selesai melalui proses tapisan dan menjalani ujian serta latihan yang telah ditetapkan oleh pihak JPJ.

“Program ini merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui JPJ Malaysia yang dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

SERAH… Dato Ir Yusuf Abd Wahab menyerahkan replika lesen memandu PDL kepada penerima.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan (JKP) Parlimen Malaysia Pembangunan Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Parlimen P206 Tanjong Manis, di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, hari ini.

Katanya, inisiatif tersebut mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat di peringkat akar umbi, khususnya golongan B40 dan berpendapatan rendah yang memerlukan lesen motosikal.

Selain membolehkan penerima menunggang secara sah, katanya, kemudahan berkenaan mampu membuka ruang pekerjaan terutama dalam sektor logistik dan pengangkutan, seterusnya membantu meningkatkan pendapatan isi rumah.

Bagaimanapun, Yusuf mengingatkan penerima bahawa memiliki lesen bukan tiket untuk menunggang sesuka hati, sebaliknya membawa amanah dan tanggungjawab besar terhadap keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.

“Di sini saya ingin memberi peringatan kepada anak-anak muda dalam program ini. Apabila anda sudah memilik lesen memandu, itu bukan bermakna anda bebas memandu sesuka hati. 

“Lesen itu sebenarnya adalah simbol kepercayaan. Kerajaan percaya bahawa anda mampu mematuhi undang-undang. 

“Pihak berkuasa yakin bahawa anda boleh membezakan antara tindakan yang berani dengan perbuatan yang cuai dan membahayakan,” katanya.

PEMENANG cabutan hadiah utama menerima hadiah motosikal tajaan Institut Memandu Sarikei Sdn. Bhd daripada Dato Ir Yusuf Abd Wahab.

Beliau turut menyentuh mengenai gejala samseng jalanan dan lumba haram susulan beberapa tangkapan yang dilaporkan di Sarawak, termasuk aksi berbahaya seperti ‘Superman’ dan ‘Wheelie’ yang dipertontonkan di tempat awam serta dimuat naik ke media sosial.

“Justeru itu, ingin saya menegaskan di sini agar penerima bantuan program ini jangan sesekali terlibat dengan aktiviti yang melanggar undang-undang dan tidak berfaedah. 

“Manfaatkanlah pemberian lesen ini untuk tujuan yang membawa kebaikan. Gunakan ia untuk membawa ibu atau ayah ke hospital apabila mereka perlukan rawatan. 

“Gunakan ia untuk pergi bekerja, mencari rezeki yang halal, membina kehidupan yang lebih baik,” katanya lagi.

Yusuf mahu penerima menjadikan lesen yang diperoleh sebagai kemudahan untuk melaksanakan tanggungjawab dan membina kehidupan lebih baik, bukannya sehingga membawa kepada kemalangan serta penyesalan.

“Jadikan pemberian lesen ini sebagai alat untuk menunaikan tanggungjawab, bukan punca kepada kemalangan dan penyesalan. 

“Jadilah anak yang membanggakan ibu bapa, bukan yang menambah luka di hati mereka. Jadilah saudara yang boleh diharap, bukan yang menimbulkan keresahan.

“Jadilah anggota masyarakat yang dihormati kerana disiplin dan budi pekerti, bukan yang dikeji kerana sikap lalai dan mementingkan diri,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa semua penerima supaya menghormati ruang awam, mematuhi undang-undang serta memahami bahawa keselamatan jalan raya dan imej negeri merupakan tanggungjawab bersama.

“Oleh yang demikian, saya menyeru pada semua penerima bantuan lesen memandu hari ini agar hormatilah ruang awam, patuhi undang-undang dan fahami bahawa keselamatan serta imej negeri adalah tanggungjawab kita bersama. 

“Jadilah penunggang motosikal yang berdisiplin, berhemah dan matang dalam membuat keputusan. 

“Buktikan bahawa golongan penerima BLM di kawasan Parlimen Tanjong Manis mampu menjadi contoh terbaik kepada masyarakat, bukan sahaja di jalan raya, malah dari segi sikap dan adab,” tambahnya.

Dalam pada itu, Yusuf berkata, kerajaan kekal komited memastikan sistem perhubungan dan infrastruktur jalan raya berada pada tahap terbaik kerana aspek itu bukan sahaja berkaitan keselamatan, malah menjadi antara pemacu pembangunan sosioekonomi.

Menurutnya, BLM merupakan langkah strategik yang membolehkan golongan belia mendapatkan lesen secara sah dan selamat, selain mendidik mereka menjadi pengguna jalan raya berdisiplin serta bertanggungjawab.

“Dengan lesen di tangan, anda bukan sahaja mampu memandu dengan sah, tetapi juga melindungi diri anda dan orang lain. 

“Anda menjadi pengguna jalan raya yang berilmu, yang faham betapa mahalnya harga sebuah nyawa. 

“Nyawa ini bukan milik kita seorang. Ia milik orang-orang yang kita sayangi. Jangan biarkan satu saat kecuaian menyebabkan berlaku kemalangan yang bakal menjadi mimpi ngeri kepada kita sepanjang hayat,” katanya.

Beliau turut menyeru agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JPJ supaya terus memperkukuh kerjasama serta mekanisme penguatkuasaan dalam usaha mengurangkan kemalangan, khususnya nahas yang meragut nyawa.

“Saya juga menggesa agar jabatan atau agensi penguat kuasa seperti PDRM dan JPJ terus menjalankan tugasan dengan cemerlang serta bersama-sama menggembleng tenaga bagi meningkatkan mekanisme penguatkuasaan secara berterusan.

“Usaha ini tidak lain dan tidak bukan bermatlamat untuk menurunkan kadar kemalangan jalan raya, terutamanya kemalangan yang mengakibatkan kematian, seiring dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya.

Oleh Earl Anek