KUCHING: Edisi ke-7 Kuching Marathon 2022 (KM2022) akan diadakan di Padang Merdeka pada 2 Oktober ini.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, larian pada tahun ini mensasarkan seramai 10,000 peserta dalam empat kategori.
“Empat kategori ini ialah Full Marathon, Kuching Half Marathon, Kuching 10KM dan Kuching 5KM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Kuching Marathon 2022 dan Miri Marathon 2022 di bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, semalam.
Mengenai siri ke-5 Miri Marathon 2022 (MM22) Abdul Karim berkata, larian itu akan bermula dari Taman Bulatan di Miri pada 6 November ini.
Katanya, bagi Miri Marathon, penganjur mensasarkan seramai 7,000 peserta terlibat dalam tiga kategori.
“Bagi MM22, ia terdiri daripada tiga kategori iaitu 42KM, 21KM dan 10KM, kategori 42KM menyasarkan peserta maraton antarabangsa, serantau dan berpengalaman.
“Manakala, 21KM untuk peserta antarabangsa dan domestik bagi 10KM pula untuk pelari tempatan dan pemula,” katanya.
Sementara itu, pengarah acara KM2022 Liew tang Chieh mengulas lanjut berkata, terdapat 2,483 penyertaan peserta pada tahun lepas di bawa ke tahun ini.
“Kita memberi pilihan kepada peserta yang mendaftar untuk Kuching Marathon 2020 (KM2020) di mana mereka mempunyai pilihan sama ada untuk memindahkan pendaftaran kepada orang lain atau naik taraf ke kategori lain.
“Pada masa yang sama, kita juga telah menghantar email kepada mereka yang terlibat,” katanya.
Peserta yang berminat boleh mendaftar secara atas talian melalui http://www.marathonkuching.com/ dan https:// marathonmiri.com/.
Untuk rekod, Kuching Marathon dan Miri Marathon diiktiraf oleh Persatuan Marathon Antarabangsa dan Perlumbaan Jarak Jauh (AIMS).
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Hee Chang Kee, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Snowdan Lawan, Pengarah Acara KM2022 Liew Tang Chieh dan Setiausaha Persatuan Miri Marathon Yeo Hui Teck.