
KABONG: Sebanyak 1,000 bungkus bubur pedas telah disediakan secara gotong-royong sebelum diagihkan kepada penduduk setempat oleh 18 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dewan LAKIN, Nyabor, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata budaya memasak dan mengagihkan bubur pedas pada setiap Ramadan perlu dijadikan sebagai simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum di sini.
Beliau berkata, aktiviti memasak dan mengagihkan bubur tradisi itu perlu diteruskan setiap Ramadan kerana aktiviti ini bukan sahaja mampu merapatkan hubungan ukhuwah dalam kalangan masyarakat meraikan Ramadan, malah turut melibatkan pelbagai kaum.

“Tidak dinafikan kini ramai masyarakat berbangsa lain menunjukkan minat mereka bersama masyarakat Islam menyediakan bubur pedas mahupun bubur lambuk untuk disedekahkan pada Ramadan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Gerak Rahmah: Jom Masak Bubur Pedas Perpaduan 2025 Peringkat KRT Bahagian Betong di Dewan LAKIN, Nyabor, hari ini.
Chee Kadir berkata beliau turut berbangga dengan kehadiran ahli-ahli KRT di Bahagian Betong menjayakan program tersebut.
“Inilah yang kita mahu, perpaduan kalangan masyarakat telah lama wujud menerusi organisasi KRT dan paling nyata ditunjukkan menerusi program ini, ahli KRT berbangsa lain turut serta menjayakan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Chee Kadir turut mengumumkan akan dilaksanakan Pondok KRT untuk enam kawasan antaranya Kabong, Alit, Gerigat, Nyabor, Sessang dan Alit dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM270,000.
Projek ini katanya akan dilaksanakan menerusi projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Kabong bagi tahun ini.
Turut hadir, Pegawai Perpaduan Bahagian Betong, Thompson Ted, Penghulu Kamaluddin Rambli, Penghulu Sani Mohd, Penghulu Abdul Wahab Samsu dan penduduk sekitar.
Oleh Adi Saparman