SIBU: Seramai 100 peserta mengambil bahagian dalam program Advokasi Kod Sukan Selamat Peringkat Negeri Sarawak Siri 3 2024, bertempat di Dewan Auditorium, Kolej Laila Taib di sini.
Program ini merupakan anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, melalui Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sibu, tujuan utama program ini adalah untuk memberikan pendedahan berkenaan garis panduan dalam mewujudkan persekitaran sukan yang selamat.
Selain itu, program ini turut menekankan peranan dan tanggungjawab setiap pihak dalam menangani isu gangguan dan penderaan dalam sukan serta mempromosikan kesedaran kepada komuniti sukan bagi membentuk persekitaran lebih selamat.
“Program ini menyediakan platform untuk pertemuan dan perbincangan secara langsung bersama pemegang taruh, komuniti, dan penganjur sukan di peringkat negeri bagi memastikan Kod Sukan Selamat ini dapat disebarkan, difahami, dan diterima pakai oleh semua lapisan komuniti sukan,” kata kenyataan itu.
Ceramah telah disampaikan oleh Penolong Pengarah Sukan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Fatimah Abdul Rahman.
Turut hadir adalah Penolong Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sibu, Morni Ibrahim.
Oleh TARANI LANTING