KUCHING: Seramai 100 penduduk di Lorong Piala 3, Taman Sukma menghadiri Program Merdeka @ Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) Daerah Kuching, semalam.
Program ini merupakan satu inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui JaPen bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme dan cintakan negara dalam Bulan Kebangsaan serta merupakan sesi libat urus dan turun padang JaPen bersama rakyat dalam memasarkan maklumat mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan, menterjemahkan inovasi dan kreativiti melalui media baharu dan menyediakan perkhidmatan berupa pusat sehenti kepada pengunjung.
Selain itu, ia adalah untuk menggalakkan penglibatan menyeluruh melalui badan sukarela dan masyarakat di seluruh negara dalam kepelbagaian agama, bangsa dan budaya sekali gus mengeratkan jalinan perpaduan serta menjadikan Malaysia sebuah negara maju dengan rakyat yang mempunyai jati diri dan integriti.
Majlis ini dirasmikan oleh Menteri Kanan Kerja Raya Malaysia Dato Sri Fadillah Yusof dan turut dihadiri Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Pengarah JaPen Sarawak, Suwadi Guliling.
Oleh Nur Ain Otsman