
SARATOK: Seramai 100 klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari Daerah Saratok yang merupakan penerima bantuan bulanan JKM Bahagian Betong telah menerima sumbangan pada Majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidlifitri, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata melalui program ini untuk ‘Uplifting Lives Festive’, pihak JKM Bahagian Betong memberikan sumbangan tambahan berupa wang tunai bernilai RM100 di samping hamper bernilai RM80 untuk menceriakan penerima bantuan kebajikan bulanan yang melibatkan pelbagai skim.
“Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KWPK) melalui JKM juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada semua pihak dalam membantu meningkatkan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
“Khususnya bagi golongan rentan yang mana mereka memerlukan sokongan kuat dari segi moral dan psikologi serta emosi dalam membantu kelangsungan hidup bagi meneruskan kehidupan harian seperti ini, selain kerjasama strategik bersama-sama dengan jabatan dan agensi-agensi yang ada seperti sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis Sejambak Kasih Hari Raya Aidlifitri 2025 JKM Bahagian Betong bertempat di Dewan Pejabat Daerah Saratok, petang semalam.
Mohamad Duri berkata jumlah perbelanjaan wang tunai pihak JKM Sarawak bagi Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri tahun lalu bagi 16,624 penerima di negeri Sarawak adalah
sebanyak RM1.662 juta.
“Seramai 2,398 orang daripada jumlah penerima bantuan Bahagian Betong akan menerima sumbangan ini sempena Hari Raya Aidilfitri.
“Pada majlis hari ini, seramai 100 penerima bantuan bulanan kebajikan Bahagian Betong dari Saratok akan menerima sumbangan tersebut sebagai simbolik sumbangan
Aidilfitri,” katanya.
Jelas Mohamad Duri, mengikut data JKM Sarawak, dari Januari hingga Februari tahun lalu, JKM Sarawak telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM42.963 juta untuk 54,040 orang penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak daripada pelbagai skim bantuan yang disalurkan.
“Bagi Bahagian Betong, JKM Bahagian Betong telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM6.322 juta untuk 4,835 penerima bantuan bulanan.
“Bagi Daerah Saratok sahaja, jumlah keselurhan penerima adalah seramai 1,742 orang dengan perbelanjaan sehingga bulan Mac tahun ini adalah sebanyak RM2.324 juta,” katanya.
Mohamad Duri percaya, bantuan dalam mensejahterakan golongan sasar terutamanya dari segi kewangan dan bantuan yang lain merupakan satu amalan yang mulia.
“Sumbangan ini amat bermakna kepada mereka yang memerlukan. Saya percaya dengan konsep ‘The more you give the more you get back’, usaha yang kita lakukan pada hari ini, sedikit sebanyak dapat menceriakan golongan yang diraikan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini,” jelasnya.
Turut hadir ADUN Krian, Fridy Belik, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datu Felicia Tan Ya Hua, wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Nurin Chunggat dan Pegawai Daerah Saratok Mohamad Dino Amit.
Oleh Adi Saparman