KUCHING: Sebanyak 10 tangkapan dan satu kompaun harian telah dikeluarkan oleh pihak polis semalam atas kesalahan cubaan merentas daerah.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sebanyak 6,634 jumlah permohonan pergerakan antara daerah telah diterima oleh 28 buah Ibu Pejabat Daerah Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh Sarawak.
“Ini menjadikan jumlah kumulatif adalah sebanyak 102,359 permohonan dan daripada jumlah kumulatif tersebut, sebanyak 93,662 telah diluluskan, dan
8,697 ditolak.
“Pasukan pematuhan juga dilaporkan telah memantau sebanyak 1,813 lokasi iaitu di pasar raya (223), restoran (302), kilang (22), bank(158), pejabat kerajaan (94),
Penjaja (7), pasar tani awam (111), tempat ibadah (91), tempat riadah (44), tapak pembinaan (24) dan lain-lain (737),” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Uggah, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak sehingga semalam juga telah menerima 23,321 notifikasi perniagaan dan industri.
Dalam perkembangan lain, bagi memperhalusi arahan yang telah dikeluarkan berhubung syarat kemasukan ke Sarawak, untuk urusan perniagaan mereka perlu melampirkan jadual pergerakan untuk dipertimbangkan, katanya.
Manakala bagi penjawat awam yang
menghadiri mesyuarat di Semenanjung, Sabah dan Labuan, mereka perlu mendapat surat pengesahan daripada Ketua Jabatan yang mana dalam surat tersebut perlu dinyatakan tarikh bertolak dan kembali, jelas Uggah.
Bagi kedua-dua kumpulan ini mereka tidak akan dikenakan prosedur pengendalian standard (SOP) untuk
warganegara yang masuk ke Sarawak.
Bagaimanapun, semua pegawai dikehendaki untuk mengambil langkah penjagaan kesihatan yang tinggi sebelum, semasa dan selepas urusan mereka.
“Kepada semua rakyat Sarawak yang terkandas di Semenanjung, Sabah dan Labuan dan tidak dapat mengambil sampel atas sebab-sebab tertentu mereka dibenarkan balik ke Sarawak dengan syarat mereka akan diambil sampel di Sarawak.
“Kos untuk pengambilan sampel tersebut pula akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Beritahunya lagi, bagi kemasukan pekerja minyak dan gas, SOP yang telah dikeluarkan sebelum ini masih terpakai untuk syarat mereka masuk ke Sarawak.
Oleh Sheila Zaidi