
KAPENGURIA: Pihak berkuasa Kenya hari ini mengesahkan sekurang-kurangnya 10 terbunuh selepas sebuah lombong emas berskala kecil runtuh di Rumos Hills di barat laut Kenya pada petang semalam, lapor Xinhua.
Pesuruhjaya Daerah West Pokot David Saruni berkata, beberapa individu masih hilang selepas pegawai melaporkan terdengar bunyi dan jeritan dari bawah runtuhan, sekali gus menimbulkan harapan bahawa masih terdapat mangsa terselamat yang terperangkap.
Saruni berkata, operasi menyelamat yang diselaraskan oleh Palang Merah Kenya masih diteruskan susulan kejadian berhampiran sempadan antara daerah West Pokot dan Turkana.
“Sekurang-kurangnya 10 mayat telah dikeluarkan dari lubang lombong, dan operasi menyelamat sedang dijalankan kerana lebih ramai individu dipercayai masih terperangkap di dalam runtuhan,” katanya.
Beliau berkata, 12 mangsa terselamat dimasukkan ke kemudahan kesihatan tempatan selepas diselamatkan oleh penduduk.
Ketua komuniti tempatan, Isaac Lomwai berkata, beberapa pelombong kecil sedang bekerja di dalam lubang itu ketika dindingnya runtuh dan menimbus mereka hidup-hidup.
Jumlah sebenar pelombong yang berada di dalam lubang itu ketika runtuhan berlaku masih belum dapat dipastikan. – Bernama