LIMBANG: Lebih 10 kubur di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kudung rosak selepas dihempap dua pokok besar seberat lebih 10 tan dalam kejadian angin kencang dan rebut, Selasa lepas.
Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid Baitul Iman Daerah Limbang Duraman Bakar berkata, kejadian angin kencang dan ribut yang berlaku 3.00 petang Selasa lepas, menyebabkan tiga pokok tumbang dan menghempap lebih 10 kubur di kawasan berkenaan.
Katanya, dua daripada pokok berkenaan bersaiz agak besar seberat 10 tan yang tumbang merosakan kubur berkenaan sehingga terbentuk lubang selebar tiga meter dan sedalam empat kaki di kawasan sama.
“Lebih 10 kubur dihempap pokok pada Selasa lepas kira-kira 3.00 petang susulan angin ribut kuat.
“Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid Baitul Iman akan berusaha membersihkan pokok tumbang terbabit,”katanya ketika ditemui media di Perkuburan Sungai Kudung, Kampung Bunga Raya dekat sini hari ini.
Katanya, pihak Ahli Jawatankuasa Pengurusan Masjid Baitul Iman Daerah Limbang akan berusaha untuk membersihkan pokok-pokok tumbang di kawasan kubur Islam terbabit.
Selain Limbang, Daerah Lawas turut dilanda angin kencang dan ribut menyebabkan beberapa pokok tumbang di kawasan kampung dan bandar Lawas.
Oleh Adeng Edrus