Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • MAHKAMAH
  • 10 Jun keputusan kes saman syarikat barang kemas Lubnan terhadap Rosmah
  • MAHKAMAH

10 Jun keputusan kes saman syarikat barang kemas Lubnan terhadap Rosmah

Utusan Sarawak 7 hours ago
ISTERI Datuk Seri Najib Razak, Datin Seri Rosmah Mansor tiba pada prosiding pendengaran saman berjumlah ASD14.57 juta difailkan Global Royalty Trading SAL terhadap beliau berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 Jun sebagai tarikh untuk keputusan kes saman berjumlah ASD14.57 juta difailkan syarikat barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas.

Hakim Datuk Quay Chew Soon menetapkan tarikh tersebut, selepas pendengaran kes saman itu selesai hari ini dengan Chong Tong Leong yang merupakan saksi keenam bagi Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku pihak ketiga dalam kes saman itu, selesai memberi keterangan.

“Mahkamah menetapkan 13 Mei untuk pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis dan hujahan balas perlu difailkan pada 28 Mei. Keputusan ditetapkan pada 10 Jun, 9.00 pagi melalui Zoom,” kata hakim itu.

Terdahulu, Chong, 53, yang bekerja sebagai kontraktor pengubahsuaian dalaman menerusi pernyataan saksinya berkata beliau menjalankan kerja-kerja pengubahsuaian di sebuah unit kondominium di Pavilion Residences antara Mac hingga Mei 2018, selepas dihubungi pemilik unit dikenali sebagai Nadziff.

Bagaimanapun, beliau berkata pada 14 Mei 2018 lebih kurang 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, beliau kembali ke rumah dua tingkat berkenaan untuk membuat pemeriksaan sebelum pendingin hawa dipasang dan mendapati beberapa beg besar berada di dalam sebuah bilik di tingkat bawah, sedangkan beg-beg itu tidak ada di situ sebelum ini.

“Melihat keadaan itu, saya terus keluar dari unit tersebut dan menghubungi Nadziff sebelum diminta untuk memberhentikan dahulu kerja-kerja pembaikan di unit tersebut. Saya telah memulangkan kad akses dan kunci unit tersebut setelah selesai pengubahsuaian,” katanya.

Chong berkata kerja pengubahsuaian itu bernilai kira-kira RM10,000 melibatkan pembaikan keseluruhan unit termasuk pendingin hawa dan dijalankan bersama seorang pekerja tempatan serta lima pekerja warga Myanmar dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari, mengikut peraturan pengurusan bangunan.

Beliau turut memaklumkan kerja pengubahsuaian itu ditangguhkan selama dua minggu pada awal Mei 2018 sementara menunggu pendingin hawa tiba.

“Hanya saya sahaja yang boleh masuk ke unit itu dan saya akan sentiasa bersama-sama dengan pekerja semasa menjalankan kerja-kerja pembaikan sehinggalah kerja-kerja selesai pada setiap hari,” katanya.

Semalam, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh memberitahu mahkamah bahawa puluhan bagasi berisi wang tunai dan barang kemas ditemukan bertaburan di atas lantai semasa polis menyerbu sebuah kondominium mewah di Pavilion Residences pada 17 Mei 2018.

Pendengaran kes saman itu berlangsung selama tiga hari bermula Isnin, melibatkan keterangan daripada Pengarah Urusan Global Royalty SAL Samer Hassib Halimeh sebagai saksi tunggal plaintif, diikuti Rosmah selaku defendan serta enam saksi pihak ketiga termasuk pegawai kanan polis.

Pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa bahawa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala 43 bakinya tidak berada dalam jagaan mereka.

Global Royalty kemudian mendakwa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.- Bernama

Continue Reading

Previous: Permohonan semakan Rosmah gugur hakim kes rasuah solar hibrid didengar 29 Julai ini
Next: Tiga lelaki didakwa simpan dan lupus harta curian di Tatau

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.