
BINTULU: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimpan harta curian yang dipercayai berlaku minggu lalu.
Menurut kenyataan media Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, kesemua tertuduh didakwa secara bersama memiliki harta curian di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Selain itu, tertuduh pertama dan kedua masing-masing berdepan dua pertuduhan tambahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana dipercayai melupuskan barangan berkenaan, manakala tertuduh ketiga turut berdepan satu pertuduhan di bawah seksyen sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa lokasi berasingan sekitar Tatau.
Bagi pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan, kesemua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, barangan yang dimiliki dan dilupuskan itu dipercayai hasil daripada kes kecurian yang dilaporkan berlaku pada pagi 6 April lalu di sebuah kedai runcit di KM12 Jalan Tatau–Sangan.
Semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Galvin Loo Wei Ming, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.
Mahkamah menetapkan 27 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes semasa sidang litar mahkamah di Tatau.
Kesemua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin tempatan bagi setiap individu, namun gagal membayar jaminan tersebut dan dihantar ke Pusat Koreksional Bintulu untuk ditahan sehingga tarikh sebutan semula kes.
Oleh Adi Safarman