
SARATOK: Seramai 10 bakal jemaah haji dari Daerah Saratok bakal menunaikan Rukun Islam kelima pada tahun ini.
Majlis kesyukuran khas untuk bakal jemaah haji ini telah disempurnakan oleh Pro Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Islam Saratok (LAKIS), Datuk Abdul Wahab Aziz di Masjid Jamek Saratok, petang semalam.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata jemaah haji dari Saratok adalah dinasihatkan agar memberi penekanan kepada keselamatan dan kesihatan sepanjang berada di tanah suci Makkah nanti.
Beliau berkata pelbagai ujian bakal ditempuhi jemaah haji namun mereka diharap sentiasa bersabar dan reda semasa mengerjakan ibadah.
“Para jemaah haji diingatkan bersedia dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi cuaca panas terutamanya di Arab Saudi.
“Kita sedia maklum di Malaysia pun ketika ini cuaca agak panas, jadi nasihat kita pada jemaah haji untuk jaga kesihatan dan ikut segala saranan yang telah dikeluarkan.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengingatkan jemaah haji supaya banyakkan minum air kosong, berada di tempat yang tidak terdedah secara terus kepada cuaca panas serta tidak memakai pakaian ketat,” katanya.
Mohamad Duri juga mengingatkan jemaah haji mengikuti segala arahan petugas Tabung Haji (TH) semasa berada di tanah suci Makkah.
“Lakukanlah ibadah haji dengan sebaik-baiknya, dan didoakan para jemaah haji mendapat keberkatan dan haji yang mabrur,” ujarnya.
Pada majlis tersebut turut disampaikan ialah sumbangan wang tunai daripada LAKIS kepada 10 orang bakal jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci Makkah beberapa minggu sahaja lagi.
Majlis ini menjadi simbol kasih sayang dan doa ADUN Kalaka kepada semua buat para tetamu Allah yang terpilih untuk menunaikan Rukun Islam kelima.
“Saya mendoakan semoga perjalanan para jemaah haji ke tanah suci dikurniakan kesihatan, kekuatan dan penuh kesabaran dalam menunaikan ibadah.
“Semoga mereka mendapat haji yang mabrur serta pulang ke tanah air dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya yang telah diwakili oleh Ahli Majlis Daerah Saratok, Kaunselor Majid Amit Zainuddin.
Oleh Adi Saparman