11 lagi barangan terkawal

TINJAU… Pengarah KPDNHEP Sarawak Dato Stanley Tan (kiri) bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serembu, Miro Simuh (kanan) meninjau pasar raya di Bau bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2.0 Hari Raya Puasa dan Hari Gawai 2020.

ALEXANDRA LORNA

KUCHING: Bagi Negeri Sarawak, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menambah sebanyak 11 barangan harga terkawal lagi di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) 2.0 Hari Raya Puasa dan Hari Gawai 2020.

Pengarah KPDNHEP Sarawak Dato Stanley Tan berkata penambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan barangan terkawal di bawah SHMMP 2.0 Hari Raya Puasa adalah 20 barangan berbanding 9 barangan sebelum ini dan Hari Gawai adalah 22 barangan berbanding 11 barangan sebelum ini.

“Tarikh kuat kuasa pertambahan 11 barangan ini adalah pada hari ini (semalam), 22 Mei sehingga 3 Jun iaitu selama 13 hari,” katanya menerusi satu kenyataan media

Beliau juga turut mengadakan lawatan di pasaraya di Daerah Bau, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh, semalam.

Beliau berkata lawatan itu adalah bertujuan untuk membuat tinjauan ke atas peniaga untuk melihat pematuhan terhadap penguatkuasaan skim ini.

“Ini juga merupakan salah satu langkah kerajaan yang prihatin dan serius dalam menangani kos sara hidup dan kenaikan harga barangan.

“Walaupun negara kita sedang berdepan dengan situasi pandemik, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa dan Hari Gawai tetap dilaksanakan. Ini kerana masih terdapat permintaan daripada orang ramai terhadap barang-barang tertentu untuk menyambut perayaan tersebut.

“Tambahan pula, semua sektor ekonomi telah beroperasi semula semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan terdapat permintaan di peringkat industri termasuk restoran, hotel, kedai makan dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata pada pertambahan barangan itu adalah atas permintaan pengguna dan ia adalah barangan pilihan utama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan turut membabitkan sambutan dua perayaan di Negeri Sarawak iaitu Hari Raya Puasa dan Hari Gawai.

“Penentuan harga di Sarawak melibatkan 32 kawasan yang dibahagikan kepada lima (5) zon utama dengan perbezaan harga ditentukan oleh faktor geografi, lojistik dan punca bekalan diperolehi bagi sesuatu kawasan.

“Selain itu, penentuan harga barangan juga dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dengan turut mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak,” kata beliau.

Beliau mengatakan kesemua barangan ini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan berkenaan, oleh itu kawalan harga dibuat ke atas barangan ini bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran.

“Senarai  11 barangan tambahan harga terkawal bagi SHMMP 2.0 Hari Raya Puasa dan Hari Gawai bagi Sarawak adalah seperti Tomato, kubis bulat import (Indonesia dan China, tidak termasuk Beijing), Cili Merah, Lada Benggala Hijau, Bawang Besar (China),Bawang besar (Holland), Ubi Kentang Import (China), Cili Kering, Kacang Tanah ,Ikan Kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram dan Ikan Selayang ( berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram),” tambah beliau.