
MIRI: Zon Utara dan Zon Tengah mencatatkan jumlah panggilan kebakaran belukar yang tinggi berdasarkan statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Menurut JBPM, data pecahan kes mengikut balai utama menunjukkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral merekodkan jumlah tertinggi dengan 112 kes, diikuti Lutong sebanyak 98 kes dan Bintulu dengan 85 kes.
“Sungai Merah pula mencatatkan 64 kes, manakala Petra Jaya sebanyak 55 kes.
“Selain itu, BBP Lopeng merekodkan 48 kes dan Mukah sebanyak 35 kes,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kategori lain-lain balai mencatatkan jumlah keseluruhan tertinggi iaitu sebanyak 210 kes.
Statistik tersebut menunjukkan peningkatan insiden kebakaran belukar di beberapa kawasan berisiko tinggi, sekali gus menuntut kesiapsiagaan berterusan pasukan bomba dalam memastikan tindakan pantas dan berkesan dapat dilaksanakan.
Pemetaan lokasi kebakaran yang dijalankan turut dijangka membantu memperkukuh strategi tindak balas serta pengagihan sumber, selain meningkatkan kecekapan operasi pada masa hadapan.
Oleh Adun Liu