
KABONG: Skuad Zon Kabong muncul juara Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Betong 2026 selepas menewaskan Zon Debak 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Alit, semalam.
Kejayaan itu menamatkan penantian Zon Kabong untuk meraih gelaran juara sekali gus membuktikan peningkatan prestasi pasukan sepanjang kejohanan yang berlangsung dari 23 Jun hingga semalam.
Pengurus pasukan Zon Kabong, Mohd Fadzli Isa berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama erat, komitmen tinggi dan semangat berpasukan yang dipamerkan semua pemain sepanjang kejohanan.
Beliau berkata setiap pemain menunjukkan disiplin tinggi serta berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap perlawanan sehingga berjaya melakar kemenangan pada aksi final.
Menurutnya, kejayaan itu lebih bermakna apabila Zon Kabong berjaya menebus kekecewaan pada edisi tahun lalu selepas tewas 0-1 kepada Zon Pusa dalam perlawanan akhir.
Katanya, pengalaman pahit itu menjadi pembakar semangat kepada pemain untuk bangkit dan memberikan persembahan terbaik pada kejohanan tahun ini.
Mohd Fadzli berkata aksi final berlangsung dalam suasana seimbang apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi memburu jaringan kemenangan.
Beliau berkata sorakan padu penyokong Zon Kabong turut menjadi suntikan semangat kepada para pemain untuk terus berjuang sehingga wisel penamat dibunyikan.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Mohd Zakiran Ismail dengan dibantu Abdul Gani Pon atas dedikasi mereka membentuk sebuah pasukan yang mantap.
Katanya, kejayaan itu merupakan hasil usaha bersama pemain, jurulatih, pegawai pasukan serta sokongan padu daripada ibu bapa dan penyokong.
Sementara itu, Zon Roban menamatkan kejohanan di tempat ketiga, manakala Zon Pusa menduduki tempat keempat keseluruhan.
Mohd Fadzli turut mengucapkan tahniah kepada semua pasukan yang mengambil bahagian kerana mempamerkan semangat kesukanan, komitmen dan aksi terbaik sepanjang kejohanan berlangsung.
Beliau berharap kejayaan Zon Kabong menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak peringkat sekolah di Bahagian Betong serta melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang mampu mengharumkan nama daerah dan Sarawak pada masa hadapan.
Oleh Adi Safarman